PARLIMEN | Polis mencatatkan 2,426 kes bunuh diri antara 1 Januari 2018 hingga 31 Julai 2021 atau kira-kira 1.86 bunuh diri setiap hari dalam tempoh itu.
Perkara itu dimaklumkan kepada Dewan Rakyat hari ini.
Menurut kerajaan, punca utama bunuh diri adalah kemurungan (27.99 peratus) diikuti dengan masalah kewangan (15.87 peratus).
Walaupun Selangor, Johor dan Pulau Pinang mempunyai jumlah kes bunuh diri tertinggi dalam tempoh tersebut, sekiranya jumlah penduduk diambil kira, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan mempunyai kadar bunuh diri tertinggi.
Majoriti (1,358) dari mereka yang membunuh diri adalah dalam kumpulan umur 19 hingga 40 tahun.
Kejadian bunuh diri yang tinggi juga berlaku di kalangan kaum Cina, diikuti oleh India dan Melayu.
Kerajaan memaklumkan perkara ini dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang meminta perincian mengenai kes bunuh diri untuk setiap negeri mengikut umur, jantina, etnik dan motif sejak lima tahun yang lalu.
Jawapan bertulis oleh kerajaan hanya mengandungi data dari 2018 dan seterusnya dan tidak memperincikan sama ada terdapat perubahan trend sejak bermulanya wabak Covid-19 tahun lalu.
Sebelum ini, polis telah mencatat kejadian bunuh diri yang lebih tinggi selama lima bulan pertama tahun ini.
Ini mendorong desakan oleh ahli parlimen seperti Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan), Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) dan Teresa Kok (PH-Seputeh) dan Kementerian Kesihatan untuk tidak mengkategorikan bunuh diri sebagai jenayah.
Jabatan Peguam Negara sedang mempertimbangkan gesaan itu.
– Malaysiakini