KUALA LUMPUR: Liputan vaksinasi kepada semua golongan yang layak di negara ini masih menjadi kaedah terbaik dalam mengawal penularan pandemik COVID-19.
Dengan pelaksanaan vaksinasi kepada remaja yang sudah pun bermula, proses itu harus dipercepat bagi memastikan sasaran populasi keseluruhan, bukan saja terhad kepada orang dewasa, dapat ditingkatkan segera.
Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Hafiz Jaafar, berkata bagi memaksimumkan lagi liputan vaksinasi COVID-19, program jangkau luar perlu diperkasa terutama di kawasan pedalaman seperti di Sabah.
“Selain itu, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada golongan yang antivaksin dan masih ragu dengan vaksin. Mereka ini antara yang menyukarkan kita untuk mencapai sasaran liputan vaksinasi yang lebih tinggi.
“Pada masa sama, kesedaran kendiri dan tahap pemahaman rakyat perlu sentiasa dipertingkat. Rakyat perlu sentiasa diingatkan, walaupun sudah divaksin, mereka masih perlu patuh kepada langkah pencegahan lain bagi mengelak jangkitan,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau ditanya mengenai kaedah lain yang boleh digunakan dalam menyekat penularan COVID-19, susulan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini, bahawa langkah pembendungan menerusi kaedah ‘pemutus litar’ atau perintah berkurung secara ketat dan singkat, mungkin dilaksanakan jika sesuatu lokasi merekodkan penularan jangkitan secara luar biasa ketika Malaysia sedang beralih ke fasa praendemik.
Khairy berkata, langkah pembendungan mirip Singapura itu mungkin dilaksanakan dalam tempoh terdekat jika perlu, walaupun ia boleh menjejaskan sosio ekonomi dan kesihatan mental.
Mengulas kaedah ‘pemutus litar’, Dr Mohd Hafiz berkata, jika mahu dilaksanakan, ia perlu mengambil kira semua aspek, termasuk ekonomi, kesihatan dan sosial, selain dengan pendekatan yang sangat berhati-hati dan bersasar.
Strategi pelaksanaannya juga harus terperinci, selain pemilihan lokasi, latar belakang populasi dan tempoh waktu perlu menjadi komponen utama yang menjadi pertimbangan.
“Ia memerlukan perincian dan timbang tara yang mendalam. Walaupun langkah itu dikatakan berkesan di Singapura, setiap tindakan harus disesuaikan dengan keadaan dan demografik di Malaysia.
“Sebarang langkah pencegahan dan tindakan separuh masak harus dihentikan dan tumpuan perlu diberikan kepada tindakan mitigasi serta membuat persediaan untuk memasuki fasa endemik, demi memastikan kesihatan mental dan ekonomi rakyat tidak terjejas,” katanya.
– BHarian