Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak pimpinan negara Lubnan segera melaksanakan reformasi rentetan kemiskinan ekstrem dan kelaparan membabitkan ribuan rakyat.
“Situasi ini kekal menjadi mimpi ngeri bagi rakyat biasa, menyebabkan kesusahan dan penderitaan yang tidak dapat diluahkan bagi golongan yang paling rentan,” kata Residen dan Penyelaras Kemanusiaan untuk Lubnan, Najat Rochdi pada sidang akhbar semalam.
PBB menganggarkan 78 peratus penduduk Lubnan hidup di bawah garis kemiskinan – kira-kira tiga juta orang – dengan 36 peratus penduduk hidup dalam kemiskinan yang melampau.
Hampir seperempat penduduk tidak dapat memenuhi ‘keperluan diet’ mereka pada akhir tahun lalu, kata PBB.
“Hari ini, kami menganggarkan lebih daripada satu juta rakyat Lubnan memerlukan bantuan bagi menampung keperluan asas mereka, termasuk makanan,” kata Rochdi
Komuniti antarabangsa berulang kali mendesak Lubnan untuk mereformasi ekonominya, terutama dengan mengakhiri perbelanjaan dan rasuah serta menyusun semula sektor tenaganya yang tidak efektif.
Pihak itu juga meminta audit forensik bank pusat.
Krisis bahan bakar telah melumpuhkan sebahagian besar Lubnan selama beberapa bulan terakhir, menyebabkan bekalan eletrik berskala besar terputus dan melumpuhkan hospital.
Perdana Menteri, Najib Mikati telah berikrar untuk melaksanakan reformasi segera, memulakan kembali perbincangan dengan Dana Kewangan Antarabangsa untuk program wang simpanan dan membuka jalan untuk pemulihan ekonomi.
Bagaimanapun Rochdi berkata, nasib Lubnan terletak pada kemahuan politik untuk menjadikan ekonominya kembali berdaya maju dan campur tangan kemanusiaan bukanlah penyelesaiannya.
– Ismaweb