Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengecam ahli politik Melaka yang dianggap mementingkan diri sendiri sehingga mengocak suasana politik negeri itu sehingga membawa kepada kemungkinan berlakunya pilihan raya negeri (PRN).
Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata ahli politik terbabit tidak pernah mengambil iktibar dengan apa yang berlaku selepas Sabah menjalani PRN – juga akibat tindakan sesetengah Adun negeri itu.
“Pentingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab adalah sifat yang dapat menggambarkan ahli politik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang meletakkan ‘diri’ masing-masing mengatasi kepentingan negara dan mengocak politik masa kini, ketika negara menuju pemulihan dari wabak Covid-19.
“Banyak orang berkata kita berada dalam keadaan yang menyedihkan sekarang ini adalah kerana PRN Sabah yang mencetuskan rangkaian jangkitan Covid-19 yang cepat di Malaysia.
“Apa jadi kepada gencatan politik yang disebut kerajaan dan pembangkang dan janji mereka untuk bekerjasama demi rakyat?” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MMA hari ini.
Pada pandangan MMA, kata Koh, mereka amat membantah PRN diadakan di Melaka dan ia tidak wajar diadakan sekurang-kurangnya sehingga keadaan negara kembali normal.
Katanya walaupun peratusan penduduk negara yang sudah lengkap divaksin adalah tinggi, namun jumlah orang yang dijangkiti pandemik itu juga masih membimbangkan.
Menurut Koh, kes aktif harian sekarang berjumlah lebih daripada 100,000 dengan kadar kematian melebihi 100 orang sehari.
“Bukankah ini jumlah yang serius bagi ahli politik yang mahu PRN diadakan?
“Mengadakan PRN sekarang sama seperti terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau!” katanya.
Ketika ini pun tambah Koh ramai kanak-kanak menjadi yatim piatu akibat Covid-19. Mangsa yang sembuh pula, katanya, masih menderita akibat kesan jangka panjang wabak tersebut.
Sesetengahnya pula katanya terpaksa bergantung kepada tabung oksigen untuk kelangsungan hidup.
“Adakah kita mahu menambah jumlah semua itu?
“Adakah kita telah melupakan barisan hadapan yang gugur sama ada daripada kakitangan perubatan atau bukan?
“Petugas barisan hadapan memerangi wabak ini sejak hampir dua tahun lalu dengan banyak cuti mereka dibekukan, dan sebilangan besar memilih untuk tinggal di luar rumah atau takut pulang setelah kerana bimbang membawa virus,” katanya.
– Malaysiakini