Tindakan kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh dan telus terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah tepat pada masanya.
Ketua Media Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris berpandangan, penubuhan jawatankuasa itu mampu mempercepatkan pencarian keadilan yang telah direntap selama ini.
“Penubuhan jawatankuasa ini bukti Perdana Menteri mendengar keluhan dan kecaknaan beliau dalam pencarian keadilan individu yang dizalimi berkenaan.
“Ia juga tepat pada masanya di saat rakyat sedang meluahkan kekecewaan kepada pemimpin yang seolah-olah selama ini tidak mampu menyelesaikan kes yang melibatkan penjawat awam sehingga mencalarkan integriti perkhidmatan awam.
“Kita berharap semua yang terlibat itu bersungguh-sungguh dalam menyelesai kes berkenaan yang sudah berlarutan selama hampir tiga tahun,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Terbaharu, mesyuarat jemaah menteri memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian Allahyarham Muhammad.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Bagaimanapun, dalam pada itu, Haji Rashidi mempersoalkan pelantikan pengerusi yang mengetuai jawatankuasa berkenaan kerana bukanlah individu yang tepat dan tahu secara keseluruhan berhubung kes Adib.
“Bagi saya Wan Junaidi adalah individu yang hebat namun adalah lebih baik sekiranya yang mempengerusi jawatankuasa ini adalah inidivu yang terbabit secara langsung dalam perjuangan kes Adib sejak awal lagi,” tegas beliau.
Katanya, pihaknya tidak mempersoalkan kewibawaan Wan Junaidi yang sememangnya pakar dalam perundangan.
“Sebelum ini terdapat individu yang memperjuangkan kes Adib ini yang dahulunya hanya terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan dan kini berada dalam pimpinan kerajaan dan sepatutnya golongan ini adalah yang paling layak mengetuai jawatankuasa berkenaan,”ujarnya.
Bagaimanapun, beliau secara keseluruhannya bersyukur kerana kes berkenaan tidak berhenti di situ sahaja dan yakin keadilan sebenar akan diperoleh dalam masa terdekat.
– Ismaweb