Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak wajar dilaksanakan dalam masa terdekat agar usaha dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus berusaha menangani penularan pandemik COVID-19 tidak menjadi sia-sia.
Atas sebab itu, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menyarankan PRN Melaka ditangguhkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) – yang dijangka akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung Julai tahun depan.
Cadangan itu disyorkan Ketua Penerangan BERJASA Malaysia, Hazwan Mohamad susulan melihat apa yang berlaku pada PRN Sabah yang menyaksikan peningkatan semula kes harian COVID-19.
“Berilah para ‘frontliners’ kita menarik nafas kelegaan lebih lama sedikit kali ini sebelum menghadapi kemungkinan lain nanti.
“Belajarlah dari kesilapan dan kebobrokan di PRN Sabah. Cukup-cukuplah! Sudah-sudahlah!” tegasnya menerusi kenyataan dimuat naik di akaun Facebook beliau, hari ini.
Bagi menggantikan PRN Melaka, Hazwan menyarankan Majlis Tindakan Negeri diwujudkan untuk urus tadbir sementara di negeri berkenaan.
“Dilantik dari kalangan 70 peratus golongan profesional atau ketua-ketua pengarah jabatan negeri dan 30 peratus lagi Ahli DUN yang bebas salah laku dan baik akhlak untuk sementara,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, keputusan mengenai kemelut politik di Melaka akan diputuskan kerajaan minggu depan.
Katanya, kerajaan akan membuat keputusan minggu depan sekiranya ada keperluan untuk menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Melaka supaya PRN ditangguhkan sementara waktu.
Pergolakan politik di Melaka tercetus apabila kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali tumbang selepas empat ADUN kerajaan termasuk bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron mengumumkan hilang kepercayaan kepada kepemimpinan beliau.
Tiga ADUN yang lain adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Keputusan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang `flip-flop’ serta tidak dilaksanakan dengan sempurna.
– Ismaweb