Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang bersidang selama 17 hari melabuhkan tirainya hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun ketika mengendalikan sesi petang ini berkata persidangan ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini menyaksikan Usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu rancangan pembangunan negara bagi tempoh 2021-2025 diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan selama empat hari mulai 28 Sept oleh 106 Ahli Parlimen, disusuli penggulungan 27 kementerian terlibat.
RMK12 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Sept lepas bermatlamat mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang, ketika negara sedang mengharungi cabaran getir pandemik COVID-19.
Sebelum itu, Dewan Rakyat meluluskan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada 13 Sept, selepas 91 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan.
Persidangan kali ini turut menyaksikan tiga rang undang-undang diluluskan iaitu Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 bertujuan membiayai empat pakej bantuan dan rangsangan yang diumumkan kerajaan sejak awal tahun ini.
Turut diluluskan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Negara (Pindaan) 2021, Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020, usul berkaitan peruntukan perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275) dan usul perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275).
Pada permulaan sidang hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan usul bagi membahas dan meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-Ordinan Darurat akan dibawa ke persidangan akan datang.
Wan Junaidi dalam kenyataan berasingan pula berkata keputusan itu dibuat oleh Ismail Sabri berikutan permintaan pemimpin pembangkang untuk menangguhkan pembentangan usul tersebut.
Permohonan itu dibuat bertujuan untuk memberi lebih banyak masa untuk usul itu dibahaskan oleh Ahli Parlimen sebelum meluluskannya, menurut kenyataan Wan Junaidi.
Menurut laman rasmi Parlimen, Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat selama 32 hari akan bermula pada 25 Okt dengan tumpuan adalah pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2022 pada 29 Okt, belanjawan pertama di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri.
– Bernama