Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menolak cadangan Mesir untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Fatah, atas alasan perjanjian penyatuan sebelumnya digagalkan oleh gerakan Palestin yang sekular.
Dalam kenyataan yang dibuat kepada Arabi Post semalam, jurucakap Hamas, Abdul-Latif Al-Qanou berkata: “Visi Hamas adalah untuk menilai kembali mekanisme sementara negara. Ia telah diusulkan untuk mengakhiri perpecahan dalaman.”
“Visi Hamas adalah untuk meneruskan kesepakatan yang dicapai oleh Hamas, Fatah, dan puak-puak Palestin lain bahawa rakyat Palestin harus memilih kepemimpinan mereka melalui pilihan raya.”
Kenyataan ini muncul berikutan laporan yang diterbitkan oleh akhbar Israel Haaretz yang menyatakan cadangan Amerika Syarikat kepada Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas untuk membentuk kerajaan dengan penyertaan Hamas atau pentadbiran teknokrat yang akan mengakui semua perjanjian PLO dengan Israel dan membubarkan kumpulan pejuang.
Mesir mencadangkan Hamas mengambil bahagian dalam pemerintahan dengan Fatah untuk membentuk kerajaan yang akan melakukan pembangunan semula Semenanjung Gaza.
Ia berikutan AS dan Israel telah menolak penyaluran sumbangan ke Gaza selagi Hamas berkuasa.
Abdul-Latif menekankan bahawa gerakannya ‘menolak semua usaha Israel dan Amerika untuk mengaitkan pembangunan semula Gaza dengan isu politik lain.’
Sementara itu, Hamas meminta Mesir untuk menekan Presiden PA, Mahmoud Abbas untuk mengeluarkan keputusan presiden bagi melaksanakan pilihan raya, yang dibatalkannya beberapa bulan yang lalu.
Ini bagi membenarkan rakyat Palestin memilih kepemimpinan mereka secara bebas dan demokratik.
– Ismaweb