Dakwaan bahawa seorang pegawai polis membuat pinjaman sebanyak RM100,000 untuk membeli pangkat superitendan, telah mencetuskan gesaan agar pasukan keselamatan itu dirombak.
“Dulu kita dengar anggota parlimen dan ahli politik untuk dijual, dan sekarang pangkat polis pula?” soal bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim.
Sementara itu, ahli parlimen DAP Charles Santiago berkata, dakwaan itu sekiranya terbukti benar menyaksikan satu lagi tahap rasuah dan mendedahkan bahawa pangkat polis boleh dibeli.
Kedua-duanya mengulas laporan Malaysiakinisemalam yang melaporkan seorang pegawai kanan polis sedang disiasat kerana membuat ugutan bunuh terhadap seorang wanita.
Wanita itu mendakwa menerima ancaman itu semasa perbalahan mengenai wang RM100,000 yang dipinjamkan kepada timbalan superitendan (DSP) berkenaan untuk “membeli” pangkat superintendan.
Bercakap kepada Malaysiakini, Zaid mengingatkan semula kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengenai rasuah dan salah laku dalam pasukan itu, beberapa minggu sebelum dia meletakkan jawatan.
Hamid juga menyasarkan pegawai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), yang didakwanya menutup kes-kes berkenaan.
Berikutan tuduhan terbaru ini, Zaid berkata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob meski melakukan rombakan menyeluruh dalam pasukan polis.
“Lebih baik lagi, lantik menteri dalam negeri yang baru. Dapatkan seseorang yang sekurang-kurangnya boleh berusaha membersihkan pasukan ini. Nak tunggu berapa teruk lagi sebelum kerajaan bertindak?” soalnya.
Perlukan IPCMC
Sementara itu, Charles berkata dakwaan bahawa pegawai kanan polis membuat ugutan bunuh akan semakin menghakis kepercayaan masyarakat terhadap pasukan tersebut.
Selain mendesak rombakan dilakukan, anggota Parlimen Klang itu menegaskan pentingnya mewujudkan mekanisme pengawasan dalam pasukan itu.
“Kita perlukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk ditubuhkan tanpa ditangguh-tangguh dan bukan versi lain yang ditambahbaik.
“Perdana menteri telah menjanjikan reformasi yang luas dan jadi, jadi saya menggesa agar dia segera mempertimbangkan bagi mengumpulkan sekelompok pakar untuk membentuk IPCMC,” tambahnya.
Semalam, beberapa organisasi masyarakat madani menyuarakan bantahan terhadap rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).
Mereka berkata IPCC yang bertujuan menggantikan IPCMC lebih lemah daripada pendahulunya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
IPCMC dicadangkanoleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk memperkasakan operasi dan pengurusan PDRM pada tahun 2005.
– Malaysiakini