Pakatan Harapan (PH) Melaka akan membawa isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke mahkamah minggu ini, meskipun Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah ditetapkan.
Pengerusinya, Adly Zahari memaklumkan, tindakan itu bagi membolehkan semakan terhadap proses, prosedur dan fakta pembubaran DUN dilakukan.
“Kelewatan bagi memfailkan kes itu disebabkan kegagalan pihak pengurusan DUN Melaka mengeluarkan atau menyerahkan Notis Pembubaran DUN Melaka itu secara rasmi kepada semua ADUN⁸
sehingga kini.
“Pihak DUN Melaka hanya mengeluarkan surat penyerahan Warta Pembubaran DUN ke-14 melalui surat bertarikh 15 Oktober 2021 yang diserahkan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tegas Adly, pihaknya akan terus menggunakan perundangan bagi memberi sedikit ruang agar kerajaan yang mempunyai keabsahan majoriti boleh dibentuk dan PRN tidak perlu diadakan.
Bagaimanapun tegas beliau, PH Melaka akan tetap bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk PRN di Melaka.
– Ismaweb