Pelajar perempuan di Afghanistan bakal meneruskan sesi pembelajaran di sekolah selepas kebenaran mengenai perkara itu diumumkan dalam masa terdekat.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Qari Saeed Khosty berkata, tarikh yang tepat akan diumumkan Kementerian Pendidikan, tidak lama lagi.
“Daripada pemahaman dan maklumat yang diterima, semua universiti dan sekolah-sekolah akan dibuka dan semua pelajar perempuan akan dibenarkan kembali ke sekolah,” katanya.
Sejak Taliban mengambil alih kerajaan, remaja perempuan tidak dibenarkan ke sekolah tetapi amaran berkenaan tidak dikenakan kepada semua pelajar lelaki yang dibenarkan mengikuti sesi persekolahan seperti biasa.
Sementara itu, wartawan al-Jazeera Stefenie Dekker yang membuat liputan di Kabul berkata, pengumuman berkenaan bukan sesuatu yang baharu malah dijanjikan sejak dahulu lagi.
“Perkara ini adalah perkara yang sama kami dengar sejak Taliban mengambil alih pentadbiran, tetapi perkara ini sudah lama dijanjikan sehingga menyebabkan pelajar perempuan ketinggalan dalam pelajaran.
“Mereka mahu kembali ke sekolah, melanjutkan pelajaran dan ini juga merupakan salah satu tuntutan masyarakat antarabangsa agar Taliban melindungi hak kanak-kanak dan wanita untuk bersekolah dan bekerja. “katanya.
– Ismaweb