Serangan ganas dilakukan peneroka haram Israel terhadap penduduk serta kampung Palestin yang mengutip hasil pokok zaitun bukan sesuatu yang baharu.
Bagaimanapun, serangan yang meliputi pukulan ke atas petani dan kemusnahan pokok – mendahului permulaan musim memetik buah zaitun secara rasmi pada 12 Oktober lalu di Tebing Barat yang diduduki – meningkat secara intensif dalam seminggu terakhir.
Menurut pemerhati tempatan, kawasan yang paling disasarkan adalah di utara Tebing Barat yang diduduki, di sekitar kampung di selatan bandar Nablus dan Salfit.
Ghassan Daghlas – yang memantau keganasan penduduk di utara Tebing Barat – mengatakan kepada Al Jazeera bahawa mereka mencatatkan 58 serangan sejak awal musim, termasuk sembilan di perkampungan Burin di selatan Nablus sahaja.
“Ini bukti bahawa ada peningkatan serangan. Kami sudah 30 peratus memasuki musim memetik zaitun.
“Kini kami sudah berdepan 58 serangan di utara (Tebing Barat),” kata Daghlas, yang menggambarkan serangan itu sebagai ‘dirancang dan tidak spontan’.
Mengutip hasil pokok zaitun adalah aktiviti ekonomi, keluarga dan sosial utama bagi kebanyakan rakyat Palestin, yang mengambil cuti bekerja untuk menjaga tanah mereka, atau keluarga, jiran ataupun rakan mereka.
Antara 80,000 hingga 100,000 keluarga bergantung pada zaitun dan minyak zaitun sebagai sumber pendapatan utama atau sekunder.
Walaupun serangan peneroka adalah kerap – sering berlaku hampir setiap hari di kampung Palestin – jumlah dan intensiti serangan meningkat pada musim mengutip zaitun yang berlangsung hingga November.
Pada 12 Oktober lalu, peneroka mencabut 900 anak pokok zaitun dan aprikot, mencuri tanaman zaitun di kampung Sebastia, utara Nablus manakala 70 pokok zaitun lagi musnah di Masafer Yatta, selatan Hebron.
Di Awarta, timur Nablus, para peneroka menebang puluhan pokok zaitun pada 13 Oktober lalu dan menyemburkannya dengan bahan kimia.
Mereka turut menghancurkan sekitar 70 pokok zaitun, buah-buahan dan sayur-sayuran di al-Tuwani di selatan Hebron selain merosakkan kereta serta dinding di kampung Marda berhampiran Salfit.
– Ismaweb