Pakatan Harapan (PH) Melaka mengakui sudah mempunyai bayangan barisan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusinya Adly Zahari.
Beliau berkata, pada awalnya persiapan berkenaan adalah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun pihaknya akan menggunakan persiapan tersebut bagi menghadapi PRN Melaka.
“Disebabkan ia (PRN Melaka) diadakan lebih awal, kita akan muktamadkan (senarai calon). Nanti kita putuskan siapa calonnya. Tunggulah dalam sehari dua ini. Apa yang telah kita putuskan di peringkat negeri, kita akan serahkan ke peringkat seterusnya,” katanya.
Beliau bagaimanapun menyifatkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan PRN Melaka pada 20 Nov adalah satu langkah tergesa-gesa tetapi pihaknya akan bersedia dengan segala kemungkinan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini mengumumkan tarikh pelaksanaan PRN Melaka pada 20 Nov depan manakala penamaan calon (8 Nov) dan undi awal (16 Nov).
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat ADUN tersebut adalah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).
– Ismaweb