Kerajaan perlu mempercepatkan pemberian dos penggalak susulan peningkatan kemasukan kes jangkitan COVID-19 ke hospital sejak kebelakangan ini.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat berkata, perkara itu sudah dijangka susulan pelbagai kelonggaran telah diberikan.
Katanya, perkara ini perlu dipandang serius apabila kebanyakan kes memerlukan rawatan adalah golongan berisiko yang sudah divaksin.
“Kaedah pengawalan boleh dilakukan dengan memastikan semua golongan berisiko mendapat dos penggalak.
“Sekiranya corak peningkatan kes yang memerlukan rawatan di hospital ini ketara, pemberian dos penggalak perlu dipercepatkan dalam kalangan golongan berisiko tinggi,” katanya seperti dilapor portal tempatan, hari ini.
Dr Halimatus menjelaskan, perkara itu merujuk kepada warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan serta divaksin enam bulan lalu.
“Ada data menunjukkan berlaku penurunan imuniti ketara bagi individu yang menerima vaksin tertentu selepas enam bulan,” katanya.
Selangor menunjukkan peningkatan kemasukan ke hospital sebanyak 23 peratus diikuti Sarawak 16 peratus, Kuala Lumpur 12 peratus dan Putrajaya lima peratus.
Sebelum ini, kajian Zoe iaitu aplikasi yang memantau perkembangan COVID-19 di seluruh dunia mendapati perlindungan daripada dua dos suntikan vaksin Pfizer dan AstraZeneca berkurangan dalam tempoh kurang enam bulan.
– Ismaweb