Parti DAP mengecam pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang melarang semua perjumpaan fizikal dan majlis sosial berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk pelancaran jentera pilihan raya parti bermula 25 Oktober hingga 27 November nanti.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, peguam DAP akan diminta untuk mengkaji larangan dan sekatan berat sebelah kepada calon untuk bertemu pengundi ini, sama ada ia sah dan mematuhi peraturan pilihan raya.
Katanya, jika terdapat kebimbangan risiko penularan baharu COVID-19 dalam PRN Melaka, Khairy sepatutnya tidak membenarkan langsung pilihan raya ini diadakan.
Justeru, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mendakwa bahawa larangan diumumkan itu satu taktik yang tidak beretika dan bertujuan melumpuhkan pembangkang.
“Khairy tidak berani membantah pilihan raya ini diadakan, sebaliknya menggunakan taktik yang tidak beretika serta berat sebelah lalu menguntungkan kerajaan.
“Satu mesyuarat antara pemimpin DAP dan PH akan diadakan bagi membincangkan sekatan yang tidak adil dan dilihat bertujuan melumpuhkan pembangkang, serta memberi kelebihan awal pada pihak kerajaan,” kata Guan Eng seperti dilapor Roketkini.
Malah, Guan Eng turut mendakwa parti-parti kerajaan mungkin takut untuk menghadapi pengundi kerana menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Melaka serta gagal dalam menguruskan pandemik COVID-19 dan kemerosotan ekonomi.
Guan Eng juga berkata, tindakan Khairy yang mengambil alih peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat mempersenda demokrasi dan keseluruhan proses pilihan raya.
“Tetapi kerajaan tidak boleh melanggar demokrasi dan mengambil alih peranan SPR dalam mewujudkan pilihan raya yang adil, bebas dan saksama,” dakwanya.
– Ismaweb