Pelan strategik lima tahun Rangka Tindakan Perdagangan Nasional yang dilancarkan hari ini akan meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai pengeksport terunggul, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata rangka tindakan dengan lapan teras strategik dan 40 cadangan/syor itu akan menangani perubahan struktur yang diperlukan untuk sektor eksport berkembang maju melalui pengukuhan memudah cara perdagangan, logistik, pematuhan piawaian/standard, akses pasaran, kemampanan, pendigitalan dan teknologi, pelaburan dan penjenamaan.
Perdana Menteri berkata kesemua cadangan berkenaan akan dilaksanakan oleh lapan kumpulan kerja yang terdiri daripada pakar dari sektor awam dan swasta.
“Rangka tindakan itu mencerminkan cita-cita jelas kerajaan untuk mengembangkan lagi kedudukan dan daya saing Malaysia dalam perdagangan antarabangsa.
“Paling penting, rangka tindakan itu ditetapkan untuk melengkapi dasar yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) untuk mencapai sasarannya dengan cadangan yang jelas, boleh diambil tindakan dan lebih fokus,” katanya semasa merasmikan majlis pelancaran Rangka Tindakan Perdagangan Nasional yang diadakan secara maya di sini hari ini.
Ismail Sabri menggesa perbincangan yang berkesan serta pelaksanaan cadangan-cadangan itu untuk meningkatkan daya saing perdagangan.
“Saya percaya pelaksanaan rangka tindakan itu, yang melibatkan usaha kolaboratif dan komitmen padu daripada pelbagai kementerian, agensi dan sektor swasta dalam ekosistem perniagaan, akan membuahkan kejayaan,” katanya.
Ismail Sabri menambah ia juga melengkapi dasar dan perencanaan induk sedia ada yang lain ke arah mencapai tujuan utama kerangka eksport yang lebih baik.
Ini selaras dengan lanskap perdagangan dan keperluan komuniti perniagaan semasa, ujar beliau.
“Kita harus faham perlunya untuk terus memperbaiki strategi perdagangan kita bersesuaian dengan lanskap yang sentiasa berubah. Produk dan perkhidmatan yang kita eksport sepatutnya berkembang apabila kita menjadi ekonomi yang lebih pelbagai dari semasa ke semasa.
Ismail Sabri juga berkata ia bukan hanya untuk meningkatkan angka perdagangan setiap suku tahun, tetapi sesuatu yang lebih bermakna daripada itu.
“Justeru, rangka tindakan itu seharusnya bertindak sebagai pemangkin untuk mengenal pasti sumber daya saing masa depan Malaysia, berdasarkan pada pemahaman yang tepat mengenai pasaran penawaran dan permintaan global dengan kerjasama yang seragam antara kerajaan dan sektor swasta,” tambah beliau.
Sambil ia memanfaatkan komuniti perniagaan Malaysia, rangka tindakan itu juga akan memberi kesan kepada rakyat secara positif,” katanya.
“Selain daripada menyokong agenda ekonomi yang selaras dengan landskap sosial negara, teras dan cadangan utama rangka tindakan itu juga berusaha menuju ke arah inklusif, pengagihan kekayaan yang adil; mengecilkan jurang ketidaksamaan; menaikkan taraf hidup rakyat Malaysia, serta memberikan impak positif kepada negara melalui penjanaan pendapatan yang lebih tinggi,” jelas Ismail Sabri.
Perdana Menteri turut melahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan mencapai kemuncak baharu pengembangan ekonomi, dipacu pertumbuhan eksport yang kukuh dengan sokongan teguh ekosistem perniagaan serta komitmen dari semua pihak dalam rantaian nilai.
“Bekerjasama ke arah matlamat yang sama, kita boleh mengemudi senario yang mencabar ini untuk mencapai hasil dagangan yang unggul dalam jangka panjang, dengan semangat Keluarga Malaysia,” tambahnya.
– Bernama