DUA hari lepas, ketika menaiki kenderaan ehailing, kebetulan pemandunya adalah AJK UMNO bahagian. Tidak disangka-sangka sama sekali. Biasanya jika berjawatan AJK bahagian, mereka bergelar kontraktor, dapat projek sana sini. Hakikatnya, beliau adalah seorang pemandu ehailing, kerja mulia.
Sepanjang perjalanan berbual mengenai politik semasa, terutama PRN Melaka tidak lama lagi. Untuk memerintah katanya, UMNO mesti bekerjasama dengan PAS dan PPBM. UMNO tidak boleh bersendirian atau merasai dirinya lebih kuat, seperti dahulu. Belajar daripada kesilapan dan ambil pengajaran.
PRU15, bagi Parlimen Ampang, UMNO tidak adalah masalah untuk serahkan kepada PAS, dengan syarat dua DUN Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa diserahkan kepada UMNO. Satu lagi formula, PAS ambil satu DUN, UMNO ambil satu dan parlimen.
Terkesima saya dengan pandangannya. Inilah nama jiwa besar. Pemimpin UMNO seperti ini yang kita mahukan. Sama seperti kata salah seorang pemimpin PPBM, apa pun yang kepada PRN Melaka, mereka tidak akan menarik sokongan kerajaan sedia ada. Kerajaan sedia ada tidak wajar ditumbangkan hanya kerana perbezaan parti. Sekali lagi, berjiwa besar, turunkan ego.
Muafakat inilah yang sepatutnya diterjemahkan dalam konteks PRN Melaka, jika mahu terus kekal memerintah.
Jangan sama sekali berkata, kita akan tanding semula kerusi! Apakah kamu begitu yakin boleh menang tanpa kerjasama parti lain? Ini bukan dahulu, tetapi sekarang. Dulu dan kini, sudah jauh berbeza, ditambah lagi dengan norma baharu politik ketika pandemik dan endemik. Tidak boleh berkempen secara fizikal. Semua maklumat bergantung di hujung jari. Perang saraf alam siber.
Saya bersetuju dengan pandangan pemimpin PAS, kerjasama antara parti PN dan MN dalam PRN Melaka akan membawa kejayaan besar kepada parti yang mentadbir Putrajaya.
Pemimpin PAS ini menyebut formula perundingan di PRN Melaka, iaitu kerusi penyandang kekal kepada penyandang. Ini bermakna UMNO-BN kekal bertanding 14 kerusi. Dengan sokongan undi PAS dan PPBM, 14 kerusi ini pasti akan selamat untuk dimenangi. PPBM pula kekal bertanding dua kerusi yang disandang.
Pemimpin PAS ini menjangkakan jika kerjasama antara parti dalam PN dan MN, khususnya UMNO dan PPBM dapat direalisasikan, gabungan itu mampu memenangi tambahan lima lagi kerusi DUN. Dengan syarat baki lagi 12 daripada 28 kerusi DUN perlu diagihkan antara tiga parti. Dengan itu, PN dan MN gagah untuk memenangi PRN Melaka, dengan 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka. PH boleh jalan…
Semua jangkaan ini tidak mustahil, kerana inilah kebaikan berjemaah atau bersatu. Jika terus kekalkan momentum ego, terimalah akibatnya. Formula PRN Melaka ini, juga menjadi cerminan kepada PRU15 nanti. Jika kamu gagal merancang, kamu merancang untuk gagal.
Ini bukan masa untuk menunjukkan ego, siapa kuat. Ini adalah masa menuntut pengorbanan. Bukannya siapakah yang lebih kuat, terutama antara UMNO dan PPBM.
Masalah ego yang paling jijik adalah merasakan diri (parti) terlalu mulia dan hebat.
Dialah yang patut dihormati, dialah patut digeruni, dialah patut dibesarkan, dialah patut dipuji, dialah patut diberi perhatian, dialah patut dapat segalanya. Perasaan dan perasan ini akan menjadikan kita berasa diri dan kepala besar, menjadikan kita tidak boleh ditegur, dinasihati dan dibetulkan.
Lazimnya, kelebihan kebendaan seperti kuasa, bilangan kerusi, harta, pangkat, populariti membawa kepada merasai mulia. Parti ini lebih itu, parti itu lebih ini.
Justeru, mari kita buang jauh-jauh sifat ego. Lebih-lebih lagi merasai diri mulia dan hebat.
Mari kita muhasabah, kemuliaan dan kehebatan itu hanya milik Allah. Kita adalah hambaNya yang hina. Sedar itu.
Ingatlah, semulia atau sehebat mana kita, kita tetap hina, walaupun yang kita ada rumah mewah, kereta mewah dan segalanya mewah.
Hakikatnya, kita sentiasa membawa kotoran bersama dalam diri kita walaupun semewah mana kita, apa jua gelarannya Raja, Pembesar istana, Perdana Menteri, Menteri, Tun, Tan Sri, Dato dan apa jua pangkat dan gelaran.
Air kencing, najis tahi, tahi hidung, tahi telinga, muntah, kentut, segalanya ada dalam perut dan badan kita. Najis-najis kotor inilah yang sentiasa kita bawa ke mana sahaja kita pergi, tidak kira apa darjat dan keturunan. Kentut kamu tetap busuk tidak wangi. Masih lagi mengakui diri atau parti hebat?
Semulia mana pun kita, semua najis ini kita bawa, termasuk santapan diraja.
Sebab itu, kita lihat, orang ego ini merasa dirinya mulia susah sangat untuk meminta maaf, meskipun dia sememang menjadi punca kepada kesilapan yang berlaku.
Orang ego ini terlalu sukar untuk meminta maaf, kerana dengan meminta maaf itu akan merendahkan diri dan memuliakan orang lain untuk mendapat kemaafan itu. Orang (pemimpin) ego pastinya tidak sanggup merendahkan diri sendiri dan memuliakan orang lain dengan permohonan maaf.
Maka benarlah kata-kata, “sorry seems to be the hardest word.” kenapa? Orang yang ego merasakan dia lebih mulia daripada orang yang dilukainya.
Ingat kata-kata ini, meminta maaf itu bukan bermakna kita berbuat salah, orang itu yang betul. Sebenarlah itu adalah makna harga sebuah hubungan atau persaudaraan atau kesatuan jamaah, melampaui sikap ego
Justeru, untuk membuang ego ini, sentiasalah meminta dan mencari kemaafan orang lain. Semua orang buat salah, dan semua orang itu termasuk kita. Semua orang tak sempurna, dan semua orang itu termasuklah kita. Fikirkan sejenak, kenapa dan mengapakah perpecahan dan lompat-melompat ini berlaku. Cuba kaji semua punca dan sebab-musabab itu.
Khalifah Abdul Malik Marwan pernah berkata, semulia-mulia manusia adalah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaaf ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat
Formula PRN Melaka mudah sahaja untuk diselesaikan. Turunkan ego. Maafkan kesalahan sahabat-sahabat kita. Ingat kata-kata Malik Marwan.
Berjemaahlah umatku, turunkan ego kamu, pasti kamu akan menang. Kepada AJK UMNO Bahagian yang menjadi pemandu ehailing, rezeki kamu jauh lebih mulia dan berkat walaupun tidak kaya dan berharta. Apa erti kaya, mulia dan berharta, tetapi hina di mata Pencipta, kerana tiada keberkatan harta.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah