Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyokong penuh kempen Rasuah Busters sehingga ke akar umbi dalam memerangi rasuah, yang merupakan penyakit membebankan negara dalam pelbagai aspek.
Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kempen berpanjangan seperti Rasuah Busters diyakini dapat memberi kefahaman kepada orang ramai selain disokong sepenuhnya oleh setiap lapisan masyarakat.
“Penyertaan banyak pihak, khususnya NGO dan agensi kerajaan diperlukan dalam menggerakkan usaha murni itu serta menjadikannya aspirasi bagi membasmi salah laku integriti di negara ini.
“Umum mengetahui bahawa rasuah salah di sisi mana-mana agama sekalipun kerana ia merupakan perkara yang haram dan menjejaskan jiwa, pemikiran dan kerohanian masyarakat,” katanya seperti dipetik portal Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, rasuah bersifat menghancurkan maka asas pemimpin yang melakukannya dalam menentukan polisi dan hala tuju negara tidak akan relevan kerana rasuah mendominasi.
Tegas beliau, PEMBELA yang yang dinaungi lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan jumlah ahli mencecah ratusan ribu akan terus menyokong kempen Rasuah Busters secara tersusun dan strategik menggunakan tenaga pakar yang dimiliki.
“Saya berbesar hati untuk bekerjasama dan akan menyokong sepenuhnya dengan menggerakkan NGO-NGO kita dalam kempen ini,” katanya.
– Ismaweb