Tindakan DAP mengecam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar susulan kenyataannya berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat terlalu mementingkan diri sendiri.
Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Johari mendakwa, tindak-tanduk yang dipamerkan menyerlahkan betapa parti tersebut begitu terdesak mahukan kuasa.
Selain itu, dakwanya, ia juga jelas memperlihatkan bagaimana DAP meremehkan perihal kesihatan dan nyawa rakyat demi mengejar cita-cita untuk kembali berada di tampuk pemerintahan.
“Inilah sikap DAP yang sebenar, tidak pernah cukup dengan apa yang ada, sikap azali yang dimiliki parti itu…hanya pentingkan diri sendiri.
“Sekiranya DAP ikhlas, mereka pasti akan lebih utamakan kesihatan dan nyawa,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Terdahulu, Khairy berkata, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.
Katanya, larangan tersebut ditetapkan meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan SOP PRN dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Mohd Nor Izzat berkata, DAP sepatutnya bersyukur kerana PRN Melaka masih boleh diadakan walaupun negara sedang dalam proses pemulihan daripada wabak COVID-19.
Katanya, masih terdapat banyak platform lain yang boleh digunakan bagi menjalankan kempen dalam masa sama mampu menyelamatkan nyawa rakyat.
“Cuba jadi individu yang bersyukur dan kreatif, bukan sahaja berada di takuk lama yang hanya mahu melakukan kempen secara bersemuka lagi.
“Kita jangan payahkan keadaan sebaliknya cari solusi untuk selesaikan, bukan sekadar merungut yang hanya tidak membawa keuntungan kepada semua pihak,” katanya.
Beliau turut berharap PRN kali ini dapat dijalankan secara telus dan tidak berat sebelah kepada semua pihak yang bertanding.
– Ismaweb