Bersatu mengambil bahagian dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka bukan untuk menang, sebaliknya mahu melihat Umno dilemahkan, dakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Rafii.
Menurutnya, Bersatu sengaja meminta kerusi yang tidak akan diterima Umno sebagai syarat untuk kerjasama.
“Bersatu bukan mahu menang di Melaka, mereka mahu melihat Umno dilemahkan di Melaka.
“Mereka sudah meletakkan asas kerusi yang tidak akan diterima oleh BN di Melaka, Bersatu mahukan lapan kerusi untuk bertanding, belum masuk lagi PAS dan Gerakan.
“Bersatu mahu bertanding di Masjid Tanah dan Jasin (kerusi kuat Umno).
“Strategi ini memang sengaja dibuat kerana mereka tahu, ini adalah permintaan tidak masuk akal dan akan ditolak oleh Umno,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, strategi Bersatu berjaya menggamit PAS menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Dia berkata demikian susulan keputusan PAS menggunakan lambang PN bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.
Razlan berkata rancangan jangka panjang Bersatu adalah untuk menggantikan Umno.
“Perancangan Bersatu untuk menggantikan Umno tidak pernah luput dalam grand design (rancangan besar) mereka.
“Mereka tidak khuatir dan fokus kepada kerja mereka, tujuan mereka menggantikan Umno bukan untuk PRN Melaka, tujuan mereka untuk menggantikan Umno semasa PRU15 nanti,” katanya.
– Malaysiakini