Susulan pembatalan proklamasi darurat untuk Sarawak, pimpinan PAS diminta membuat ketetapan segera sama ada parti itu akan meletakkan calon dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Perwakilan Sarawak Abdul Halim Abdul Kadir berkata jentera parti di peringkat negeri itu juga bersedia untuk mengerah tenaga bagi memastikan munculnya anggota dewan undangan negeri (Adun) sulung mereka di negeri berkenaan.
“Kami amat harapkan agar mendapat lampu hijau daripada pemimpin pusat, adakah dibenar bertanding atau sebaliknya (dalam PRN ke-12).
“Jika ditanya apa kami buat untuk bertanding? Saya nyatakan di sini di DUN Beting Maro sudah ada 30 cawangan aktif yang bergerak sejak 2019 khusus untuk PRN akan datang.
“Bukan kami tak sabar tapi ini semangat baru PAS Sarawak demi memastikan Adun partama PAS di DUN Sarawak dalam PRN kelak,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Muktamar PAS ke-67 di Kuala Terengganu, hari ni.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan dengan pembatalan darurat bagi Sarawak yang berkuat kuasa sejak 3 Ogos lalu.
Pembatalan itu secara tidak langsung memberi laluan kepada PRN ke-12 diadakan setelah tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak tamat pada 6 Jun lalu.
Abdul Halim berkata PAS sudah bertapak di Sarawak sejak lebih 20 tahun lalu malah parti berkenaan tidak pernah ketinggalan untuk meletakkan calon dalam pilihan raya sejak 1999.
– Malaysiakini