Akuan berkanun (SD) sahaja tidak memadai untuk menghalang seseorang wakil rakyat daripada melompat parti selepas memenangi pilihan raya, kata setiausaha penganjur DAP Anthony Loke.
Menjawab kenyataan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, Loke berkata perkara itu hanya boleh dikuatkuasakan dengan menggubal undang-undang anti-lompat parti selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan dibuat.
“Tok Mat, SD tu tak boleh pakai untuk menghalang wakil rakyat lompat parti.
“Yang hanya boleh dikuatkuasakan ialah Akta antilompat parti yang diiluluskan di parlimen selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi akaun Facebooknya malam tadi.
Loke berkata, Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan sendiri pernah menerima wakil rakyat yang melompat parti ketika penggal pertama menyandang jawatan itu.
“Tok Mat sendiri pernah menerima katak politik semasa penggal pertama beliau menjadi MB Negeri Sembilan iaitu bekas Adun Bahau yang menang atas tiket DAP pada PRU tahun 2004 dan lompat ke BN pada tahun 2007.
“Selepas ini, saya harap semua parti sama-sama menyokong penggubalan Akta Anti Lompat Parti di Parlimen,” katanya.
Loke mengulas laporan Bernama malam tadi yang memetik Mohamad sebagai berkata kesemua 28 calon BN pada pilihan raya negeri Melaka mesti menandatangani SD bagi menghalang mereka daripada melompat parti.
Mohamad berkata SD itu sedang disiapkan oleh peguam dan akan ditandatangani sebelum majlis pengumuman calon hari ini.
“Sementara dalam Parlimen atau DUN (Dewan Undangan Negeri) belum ada lagi akta atau enakmen ini (lompat parti), maka kita terpaksa membuat aku janji dan ada dua,tiga lagi dokumen untuk ditandatangani bakal calon sebelum diberi tauliah esok,” kata Mohamad.
Tindakan melompat parti semakin parah sejak pilihan raya umum 2018, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan beberapa kerajaan negeri.
Pilihan Raya Kecil Melaka diadakan selepas empat Adun yang diketuai bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron menarik balik sokongan kepada ketua menteri, Sulaiman Md Ali, sekali gus menyebabkan DUN Melaka dibubarkan
Hari penamaan calon bagi PRN Melaka ditetapkan pada Isnin depan, manakala hari mengundi ditetapkan pada 20 Nov. Pengundian awal akan berlangsung pada 16 Nov.