PAS berasa sedikit kecewa apabila usaha merundingkan kerusi bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka gagal sekali gus memaksa mereka bertembung dengan Umno di tujuh kerusi.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata usaha rundingan itu memang mengambil masa yang panjang dengan menunjukkan hasil positif pada peringkat awal.
Namun pada akhirnya kata Tuan Ibrahim BN kekal mahu bertanding di semua kerusi.
“Bagi kami rasa sedikit kecewa (kerana) usaha penyatuan itu gagal pada hujungnya, tetapi Melaka bukan medan kita,” katanya ketika ditemui media di Kuala Terengganu hari ini.
Menteri kabinet itu berkata demikian ketika ditanya berhubung pertembungan kerusi yang dijangka membabitkan calon PAS dan Umno di tujuh kerusi dalam PRN Melaka.
Andaian itu dibuat berdasarkan kepada senarai yang dikemukakan Umno-BN serta Perikatan Nasional (PN) hari ini.
Terdahulu, PAS melalui PN diumumkan bertanding di lapan kerusi iaitu dewan undangan negeri (DUN) Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam, Kelebang dan Merlimau.
Kerana tidak didaftarkan
Sebagai rekod Umno merupakan penyandang di empat daripada tujuh kerusi tersebut.
Mengulas lanjut Tuan Ibrahim menyifatkan pertembungan dengan Umno – yang menjadi rakan PAS melalui Muafakat Nasional – sebagai situasi yang terpaksa dihadapi.
“Sebenarnya pada peringkat awal kita runding supaya kita mengelak (bertembung), kalau kita dapat kompromi kerusi. Tetapi oleh kerana Umno buat keputusan untuk bertanding semua menyebabkan kita tiada pilihan.
“Ya (terpaksa), sebab Umno akan tanding semua kerusi. Jadi pada masa itu tak ada kompromi untuk kita melihat mana-mana kerusi diagih (runding).
“Kalau sekiranya kita runding dan ada kerusi Umno tak bertanding mungkin tidak ada pertembungan,” jelasnya yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian.
Dalam perkembangan berkaitan Tuan Ibrahim berkata kerjasama Muafakat Nasional bersama Umno bukan sebagai parti politik kerana ia tidak didaftarkan berbanding PN.
“Kami dalam MN (adalah) medan besar untuk muafakat besar yang bukan sekadar (untuk) pilihan raya (tetapi) gagasan penyatuan ummah, sebab itu PAS bertanding di bawah PN kerana sudah berdaftar,” ujarnya.
– Malaysiakini