Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan membuat penampilan sulungnya dalam pilihan raya dengan mempertaruhkan lima calon untuk merebut kerusi dewan undangan negeri pada 20 Nov ini.
Presidennya, Ibrahim Ali, ketika membuat pengumuman itu berkata lima calonnya itu termasuk Pengerusi Putra Melaka, Prof Mohd Aluwi Sari, yang akan bertanding di DUN Pengkalan Batu.
Turut dicalonkan ialah Ketua Wira Putra Melaka Mohamad Hashidi Mohd Zin, yang diletakkan di DUN Paya Rumput, serta dua ketua bahagian Putra iaitu Mohd Faizal Amzah, 44, di DUN Duyong dan Nazatul Ashraf Md Dom, 38, di DUN Sungai Rambai.
Ketua Wanita Putra Melaka, Laila Norinda Maon,44, yang juga seorang usahawan pula akan mewakili parti itu untuk kerusi DUN Gadek.
Mohamad Hashidi, 32, merupakan calon terbuka Putra.
Kata bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, pada awalnya Putra menyasarkan 13 kerusi untuk ditandingi namun akhirnya dikurangkan kepada lima saja.
“Putra baru berusia dua setengah tahun dan ini adalah pilihan raya yang tidak dijangka sehingga kami tidak dapat membuat persiapan untuk bertanding di 13 kerusi.
“Jadi daripada 13 kerusi itu, Biro Politik Putra telah memilih lima kerusi,” kata bekas ahli parlimen tiga penggal itu.
Ibrahim sebelum ini mendakwa keputusan Putra untuk bertanding dalam PRN Melaka sebagai langkah mereka untuk “menyelamatkan Melaka” selepas kemelut yang berlaku berpunca daripada “permainan politik” kedua-dua pihak di negeri berkenaan.
Jika pencalonan diterima pada Isnin ini, Putra bakal berdepan pertembungan dengan BN, PN dan Pakatan Harapan (PH). Satu daripada kerusi yang disasarkan Putra akan menyaksikan mereka berdepan Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin di DUN Paya Rumput.
Ketiga-tiga gabungan utama itu telah mengumumkan barisan calon mereka sebelum hari penamaan calon pada 8 Nov.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi ialah pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov. Pengundian awal pula pada 16 Nov.
– Malaysiakini