Insiden bekas Adun Pakatan Harapan yang bertindak melompat ke parti lain yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Melaka tidak menjejaskan peluang PKR kembali merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.
Sebaliknya, calon PH, Zamri Pakiri berkata bahawa pengundi DUN Rembia memahami keadaan yang berlaku.
“Ramai yang tanya saya, bagaimana PKR di DUN Rembia menangani isu lompat parti. Adakah pengundi marah terhadap partinya? Jawapan saya: tidak”.
“Masyarakat di sini memahami politik tanah air. PKR Rembia tidak kena mengena dengan individu lompat parti itu,” katanya kepada Malaysiakini.
Zamri, 46, seorang ahli peniaga bakal berdepan saingan lima penjuru menentang penyandang kerusinya Muhamad Jailani Khamis yang kini bertanding di bawah tiket BN, bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Zamzuri Ariffin (Perikatan Nasional) dan dua calon bebas K Murali dan Sabarudin Kudus.
Pada PRU14 yang lalu, Jailani mewakili PH menang kerusi tersebut mengalahkan penyandangnya Norpipah Abdol daripada Umno dalam saingan tiga penjuru.
Jailani menerima 6,773 undi diikuti Norpipah 4,959 dan calon PAS Mohammad Rashidi Abd Razak yang menerima 1,200 undi.
Namun, Jailani mengumumkan keluar daripada PKR sebelum menyokong gabungan Perikatan Nasional menyebabkan kerajaan negeri PH tumbang.
Ketika itu dia menjadi Adun Bebas sebelum menyertai Umno pada awal tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Zamri yang merupakan anak tempatan berkata pengundi di sini dapat membezakan dia dengan Jailani.
“Dia (Jailani) bukan berasal dari sini. Masuk parti pun sebelum PRU14 sahaja. Menang semata-mata kerana sokongan parti PKR, Amanah dan DAP. Bukan atas kapasiti sendiri. Sekarang pengundi sudah faham.
“Sedangkan, saya berasal dari Kampung Kelemak Dalam. Isteri saya juga berasal Sungai Petai. Kedua-duanya terletak di dalam DUN Rembia.
“Saya juga ahli PKR sejak parti itu ditubuhkan 1999. Nombor keahliannya 549. Ia sudah cukup untuk membuktikan kesetiaan saya kepada parti dan pengundi di sini,” katanya.
Ketika, ditanya apakah perkara yang perlu diberi perhatian di Rembia, Zamri berkata isu dampak Covid-19 memang sangat kritikal.
“Sebagai contoh, ramai masyarakat dari Rembia tercicir daripada bantuan jabatan kerajaan setelah mata pencarian mereka terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Saya akan memastikan tidak sesiapa yang tercicir jika diberi mandat pada PRN Melaka kali ini,” katanya.
– Malaysiakini