Dinesh Basil akan bertarung dengan calon PH Idris Haron dan calon BN Fairul Nizam ROslan, selain calon bebas dalam pertembungan enam penjuru di DUN Asahan.
Presiden Majlis Belia India Malaysia (MIYC) itu dicabar oleh bekas ketua menteri Idris Haron yang bertanding di bawah tiket PH dan Ketua Pemuda Umno Melaka, Fairul Nizam Roslan, 43 mewakili BN.
Stesen minyak dan mesin ATM antara keutamaan yang menjadi tumpuan calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Asahan, Dhanesh Basil jika diberi mandat oleh pengundi kawasan itu pada 20 Nov ini.
Dhanesh berkata dirinya realistik dengan menangani isu kemudahan asas sebelum membawa perubahan dari segi ekonomi dan pembangunan masyarakat setempat.
“Saya tidak nak janji akan membawa bintang dan bulan seperti yang lain jika menang di Asahan. Bagi, saya ada beberapa kemudahan asas perlu diselesaikan di Asahan sebelum kita berfikir mengenai pembangunan yang lain.
“Jika, saya diberi mandat stesen minyak dan mesin atm antara keutamaan akan diberi perhatian di Asahan. Mungkin, orang fikir, apakah perlunya seorang wakil rakyat untuk memastikan menyediakan stesen minyak dan mesin atm. Tapi, itu yang berlaku di Asahan,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurutnya, stesen minyak paling dekat bagi Pekan Asahan terletak sejauh 20km. Mesin ATM di stesen minyak yang terletak di kawasan Selandar itu satu-satunya perkhidmatan ATM bagi penduduk yang tinggal di Nyalas dan Pekan Asahan.
“Bayangkan, kamu perlu membelanja sekurang-kurangnya RM10 untuk isi minyak atau menggunakan perkhidmatan ATM.
“Kerana perjalanan ulang-alik ke Selandar adalah antara 30km hingga 40km bagi penduduk dari Nyalas dan Pekan Asahan,” katanya.
Dhanesh, 29 yang kali pertama bertanding dalam PRN Melaka, bakal menyaksikan pertarungan enam penjuru di DUN Asahan.
Presiden Majlis Belia India Malaysia (MIYC) itu dicabar oleh bekas ketua menteri Idris Haron yang bertanding di bawah tiket PH dan Ketua Pemuda Umno Melaka, Fairul Nizam Roslan, 43 mewakili BN.
Selain itu, tiga calon Bebas iaitu pesara tentera yang juga bekas Ketua Penerangan Bersatu Alor Gajah, Mohd Akhir Ayob, 50; Azmar Ab Hamid, 49, yang menggunakan logo kunci dan Mohd Noor Salleh , 43 menggunakan logo pokok.
Menjelaskan lagi, Dhanesh berkata bahawa buat masa ini penduduk dari Nyalas dan Pekan Asahan terpaksa membayar sehingga RM3 untuk seliter petrol RON95 yang dijual oleh beberapa orang di sini.
“Ada yang beli petrol dan diesel secara borong. Kemudian, menjual pada harga yang mahal kepada penduduk tempatan kerana perjalanan yang jauh.
“Lebih menyedihkan, stesen minyak yang saya maksudkan, bakal akan ditutup sementara untuk tiga bulan bermula 24 November ini. Beginilah keadaan di sini,” katanya.
Dhanesh yang kini merupakan ahli parti Gerakan berkata selain isu air, capaian internet dan kemudahan telekomunikasi antara perkara perlu diberi perhatian.
“Di Asahan terdapat empangan air (Empangan Jus) yang menyediakan bekalan air di beberapa kawasan di Melaka. Tapi, Asahan masih mempunyai isu air.
“Saya juga difahamkan hanya 25 peratus pelajar di kawasan Asahan menghadiri kelas PDPR semasa PKP kerana masalah capaian internet dan perkhidmatan telekomunikasi yang rendah.
“Saya harap, jika diberi mandat pada 20 Nov ini, saya janji akan menyelesaikan perkara-perkara asas ini sebelum merancang perkembangan lebih besar di DUN Asahan,” katanya.
– Malaysiakini