Pakatan Harapan (PH) harus memikirkan bagaimana caranya untuk menggalakkan pengundi keluar mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang akan datang, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke.
Katanya, usaha meyakinkan semula pengundi yang keluar mengundi pada PRU lalu akan menjadi cabaran besar yang harus didepani PH.
“Ini satu perkara yang perlu kita bagi perhatian di peringkat DAP dan PH – bagaimana kita meyakinkan semula pengundi-pengundi yang keluar beramai-ramai pada PRU lepas supaya mereka boleh sekali lagi keluar untuk mengundi pada PRU yang akan datang. Ini merupakan satu cabaran yang besar.
“Kita lihat kali ini, peratusan mengundi itu jatuh mendadak berbanding PRU2018, dan itu salah satu faktor yang menyebabkan banyak kerusi yang kita menang tahun 2018 tak dapat dipertahankan,” katanya dalam sidang media di Melaka.
Katanya, ia antara isu yang menjadi tumpuan PH bagi mengembalikan semula semangat pengundi terutama pengundi atas pagar bagi membuktikan bahawa faktor undi mereka amat penting.
Terdahulu, Loke mengulas prestasi tidak memberangsangkan PH dalam pilihan negeri Melaka semalam sebelum keputusan rasmi diumumkan.
Pada PRN itu, BN berjaya meraih majoriti dua pertiga berbanding hanya 13 daripada 28 kerusi yang dimenangi mereka dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, PH akan mencari jalan supaya pengundi di luar bandar dapat mengakses maklumat yang betul dan tepat pada masa akan datang.
“Kita akan meneliti dan melihat bagaimana keadaan ini dan sistem penerangan, bagaimana nak dilakukan terutama di kawasan luar bandar, yang kita tahu pembangkang selalunya dia (bergantung) di atas kekuatan penerangannya yang mampu mengajak dan mengubah orang ramai.
“Walau bagaimanapun, kita akan buat kaji selidik dan kita ucap tahniah kepada mereka yang mencapai kemenangan pada hari ini (semalam),” katanya.
Sementara itu Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari berkata pihaknya akan melakukan bedah siasat berhubung keputusan PRN berkenaan.
“Dalam masa yang sama, kita juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat negeri Melaka, atas keputusan yang telah dibuat.
“Saya yakin bahawa itulah sebahagian daripada hasrat rakyat di peringkat negeri dan kita PH akan melihat balik perkara-perkara yang telah kita laksanakan dan dalam
masa sama kita cuba usahakan untuk memperbaiki segala ruang yang boleh kita pertingkatkan,” katanya.
– Malaysiakini