Kelab Veteran Umno mencadangkan supaya Muafakat Nasional (MN) dibubarkan bagi mengelakkan polemik berpanjangan dengan PAS.
Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata masing-masing telah membuat keputusan muktamad apabila Umno menolak Perikatan Nasional (PN) dan PAS memilih PN.
“Sekiranya status MN dibiarkan tergantung maka akan berlaku tuduh menuduh dan salah menyalah diantara kedua parti.
“Oleh itu lebih baik dibuat keputusan muktamad dengan membubarkannya. Habis cerita dan tutup buku,” katanya.
Mustapha Yaakub
Hubungan Umno dan PAS yang dirintis selepas pilihan raya umum lalu melalui jalan berliku selepas PAS memilih bersama Bersatu dalam PN.
Ia diburukkan lagi selepas BN dan PN bertembung sesama sendiri dalam pilihan raya melaka pada Sabtu lalu.
Dalam kenyataan petang ini, Mustapha berkata MN bukan ada ikatan berdaftar.
“Ia hanya satu gagasan yang telah gagal dan tidak diperlukan lagi,” katanya.
Katanya, jika MN dibubarkan, Umno dan PAS tidak perlu bersusah-susah untuk menjaga hati masing-masing.
“Biarlah masing-masing meneruskan perjuangan berdasarkan tujuan dan matlamat masing-masing.
“Umno menghormati keputusan PAS untuk bersama PN dan PAS juga mesti menghormati Umno yang tidak mahu bersama PN,” katanya.
Mustapha menegaskan pembubaran MN bukan atas dasar marah atau kecewa, tetapi bagi mengelakkan kekeliruan dan salah tafsir di kalangan ahli Umno.
Katanya, masih ada menganggap MN masih ujud sedang “hakikatnya MN telah terkubur”.
– Malaysiakini