Dalam perbincangan dengan Kementerian Kesihatan, kerajaan Sarawak telah meminta prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya yang “berbeza” daripada yang dilaksanakan di Melaka.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyasarkan Selasa depan (30 Nov) untuk SOP berkenaan dimuktamadkan supaya ia boleh disyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Khairy juga telah melantik Timbalan Menteri Kesihatan II dan ahli politik GPS Aaron Ago Dagang untuk menyelia perbincangan itu.
“Setiausaha kerajaan negeri Sarawak telah mengemukakan beberapa permintaan yang sedikit berbeza dengan (SOP) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
“Dengan hujah ada kawasan di Sarawak yang tiada capaian internet, oleh yang demikian agak sukar untuk melaksanakan kempen melalui media sosial,” kata Khairy dalam sidang media yang disiarkan petang ini.
Tempoh kempen PRN Sarawak adalah dari 6 Dis hingga 17 Dis. Hari pengundian pada 18 Dis.
Ditanya apakah jenis SOP yang disyorkan kementerian untuk pilihan raya Sarawak, Khairy enggan mendedahkan keputusan yang belum disahkan.
“Saya tidak mahu sentuh kerana ia adalah hipotesis sekarang (dan) ia belum diputuskan lagi.
“Jadi saya rasa daripada menjadikannya sebagai polemik terbuka, biarlah kita berbincang di peringkat kementerian dan setiausaha kerajaan negeri untuk kita mempertimbangkan risiko membenarkan beberapa SOP ini yang mungkin berbeza dengan Melaka.
“Dan SPR akan mengumumkannya sebaik sahaja kami (memberi) syor kepada SPR,” jawabnya.
Bagi PRN Melaka baru-baru ini, SPR telah mengenakan larangan berkempen secara fizikal, ceramah, lawatan ke rumah dan walkabout.
Semua petugas pilihan raya perlu menjalani ujian kendiri setiap dua hari.
SOP ini bertujuan untuk mencegah penularan Covid-19.
Bukan waktu sesuai untuk PRU15
Mengenai gesaan daripada Umno supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat, Khairy berkata kementerian menentangnya dengan tegas.
Beliau menegaskan adalah “sangat tidak bertanggungjawab” untuk mengadakan pilihan raya yang tidak perlu semasa pandemik Covid-19.
“Pilihan raya umum tidak perlu diadakan lagi dan pendirian kementerian adalah tidak sesuai untuk kita mengadakan pilihan raya umum sekarang.
“Saya ingin menekankan dua perkara. Pertama, situasi kes (Covid-19) masih membimbangkan dan kemasukan ke hospital meningkat.
“Dan terdapat kemunculan varian baharu.
“Saya fikir jika pilihan raya umum diadakan pada masa ini, ia akan menjadi sangat tidak bertanggungjawab. Pendirian kementerian adalah kami akan menasihati sekeras-kerasnya menentang pilihan raya umum dalam masa terdekat,” tegasnya.
PRU15 perlu diadakan sebelum 2023.
Pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menandatangani memorandum persefahaman dengan gabungan pembangkang Pakatan Harapan dan bersetuju untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022.
– Malaysiakini