Polis China berjaya menangkap seorang banduan Korea Utara yang bertindak berani melarikan diri dari penjara bulan lalu dan hilang selama lebih 40 hari, kata pihak berkuasa, hari ini.
Pegawai di timur laut China menawarkan ganjaran AS$23,000 (RM97,531) kepada sesiapa yang dapat menangkap semula banduan itu, yang mencetuskan minat ramai di media sosial.
Banduan berusia 39 tahun, yang dikenal pasti dengan nama Cina sebagai Zhu Xianjian, dipenjara di negara itu selepas melarikan dari Korea Utara.
Dia melarikan diri dari fasiliti di bandar Jilin dengan memanjat bangsal dan menimbun dinding sebelah luar pada 18 Oktober, dan gagal dikesan sebelum ditangkap semula Ahad lalu.
Polis Jilin dalam satu kenyataan pendek, berkata banduan itu sudah menerima teguran pada jam 10 pagi Ahad, tanpa memberikan sebarang maklumat lanjut.
Video yang dikongsikan agensi media kerajaan, Beijing News menunjukkan seorang lelaki yang kelihatan kurus dibawa beberapa pegawai, berserta gambar dia terbaring di atas tanah dengan tangan di belakang.
Xianjian didapati bersalah kerana masuk ke China secara haram, mencuri dan merompak, dan sepatutnya dibebaskan serta dihantar pulang ke negaranya pada 2023.
Ia menimbulkan spekulasi dalam talian, yang dia melarikan diri kerana mahu mengelak daripada dihantar pulang.
Dia menyeberangi sungai yang memisahkan Korea Utara dari China secara haram pada 2013.
Mengikut rekod mahkamah, dia kemudian memecah masuk beberapa rumah di kampung berhampiran, mencuri wang, telefon bimbit dan pakaian.
Dia turut menikam seorang wanita warga emas yang menemuinya dan cuba melarikan diri dengan menaiki teksi sebelum ditahan polis.
– AFP