Seminggu selepas kekalutan pilihan raya negeri (PRN) Melaka berlabuh, timbul cadangan agar dua rakan sekutu dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR dan Amanah untuk bergabung menjadi sebuah parti.
Penganalisis politik, Wong Chin Huat, berkata penggabungan kedua-dua parti terbabit perlu bagi mengambil iktibar daripada kegagalan mereka di Melaka pada 20 Nov lalu.
Katanya, PKR dan Amanah perlu memperkasakan parti bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang dengan hala tujuan yang lebih jelas bukannya kekal dengan naratif lama seperti mahu mengembalikan mandat rakyat yang diterima mereka pada 2018.
Lebih daripada itu kata Wong Amanah juga tidak wajar untuk bersaing dengan PAS melalui isu seperti arak dan judi.
“Kalau Amanah cuba menjadi lebih PAS daripada PAS, pengundi PAS akan tetap memilih PAS sebaliknya pengundi bukan Melayu dan liberal pula akan meninggalkan mereka.
“Akhirnya, yang tidak dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya kepada Malaysiakini.
Wong berkata demikian sebagai menjelaskan cadangannya agar kedua-dua parti terbabit bergabung sebagai persediaan menghadapi PRU ke-15 kerana penting untuk parti terbabit mengukuhkan undi Melayu.
Idea itu dilontarkan Wong semasa dia ditemu bual dalam satu program televisyen.
Penting di kawasan marginal
Mengulas lanjut, kata Wong, tanpa penggabungan itu sukar untuk PH bersaing dengan BN atau Perikatan Nasional (PN) apabila kedua-dua parti turut bercakap mengenai pembaharuan serta kestabilan.
Justeru menurut Wong, PH – terutamanya PKR dan Amanah – harus menekankan isu ekonomi dan jurang di antara dua darjat dalam masyarakat.
“Ramai Melayu kebanyakan yang kecewa dan marah melihat golongan kayangan hidup mewah sedangkan rakyat terbanyak kesempitan wang.
“PH mesti menekankan isu kehidupan seharian seperti inflasi, bukan sekadar mengapi-apikan ketidakpuasan tetapi menawarkan penyelesaian termasuk dengan memanfaatkan kuasa di tiga negeri yang ditadbirnya.
“Sementara ramai orang Melayu berasa lesu dan keliru dengan kemunculan semakin banyak parti dan faksi, PKR dan Amanah – yang tidak terlalu berbeza arah tujuannya – boleh membuat pertimbangan untuk bergabung demi mencapai sinergi terutamanya di kawasan marginal,” katanya.
Jelas Wong, PKR adalah hasil reformasi manakala Amanah pula kebanyakannya diasaskan oleh penyokong Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, pada dan selepas 1998.
“Kalau dua parti itu dapat digabungkan, maka parti baru berkenaan akan menggantikan DAP sebagai parti terbesar di Dewan Rakyat dengan 46 orang ahli parlimen.
“Ini akan berkesan menolak propaganda pihak lain yang mendakwa kononnya PH didominasi DAP,” katanya.
Bagaimanapun, Wong berkata, proses pergabungan tersebut mungkin mengambil masa yang panjang dan hanya selesai selepas PRU ke-15 yang belum diketahui tarikhnya.
Hilang modal moral
Pun begitu kata ahli akademik itu lagi, proses tersebut boleh dimulakan dengan membentuk badan penyelaras yang menampilkan kepimpinan bersama dari peringkat pusat hingga ke akar umbi.
“Apa yang penting, PH tidak boleh berharap kekalahan di Melaka tidak berulang lagi tetapi mereka sendiri tidak membuat sebarang perubahan,” tegasnya.
Tambah Wong, cadangan tersebut harus dipertimbangkan semasak-masaknya oleh PKR dan Amanah selepas PH gagal mempertahankan 11 kerusi DUN Melaka yang dimenangi mereka pada 2018.
Menurutnya dalam PRN Melaka baru-baru ini, PH bukan sahaja sekadar memenangi lima kerusi DUN malah gabungan terbabit berada di belakang BN dan PN di 13 kerusi.
Hanya di 10 kawasan, kata Wong, PH berada di tempat kedua.
“Dalam kata lain, PN sudah menggantikan PH sebagai lawan utama BN, dan ini ketara sekali di kawasan pengundi majoriti Melayu.
“Di 12 kawasan yang memiliki lebih 70 peratus pengundi Melayu, PH cuma berjaya mendapat tempat kedua di DUN Kuala Linggi dan Merlimau (kedua-duanya ditandingi Amanah).
“Di 11 kawasan dengan lebih 60 peratus pengundi Melayu, PH cuma memenangi DUN Bukit Katil yang juga ditandingi calon Amanah,” katanya.
Jelas Wong, kejayaan PN menggantikan PH sebagai alternatif Umno di kawasan Melayu bermaksud undi Bersatu dan sokongan PAS – secara purata sebanyak 9 peratus semasa PRU ke-14 – berjaya digabungkan.
Katanya pengundi Melayu yang menolak Umno kerana isu korupsi dan kleptokrasi tidak berpindah ke PH kerana berasa haluan gabungan berkenaan tidak jelas, khususnya selepas mereka menerima Idris Haron dan Nor Azman sebagai calon.
Selepas menerima dua bekas Adun Umno itu, kata Wong, PH kehilang modal moralnya untuk menyerang Bersatu sebagai pengkhianat.
“Sememangnya propaganda PN dan BN bahawa PH didominasi DAP berkesan dalam kalangan pengundi Melayu tetapi cara penyelesaiannya bukanlah meminta DAP kurang menonjolkan diri mereka.
“Jika DAP tidak menonjol, PKR dan Amanah turut rugi apabila pengundi bukan Melayu mungkin malas keluar mengundi,” ujarnya.
– Malaysiakini