Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi semalam bertemu untuk membincangkan cabaran yang dihadapi perjuangan Palestin dalam usaha untuk meningkatkan perundingan dan penyelarasan mendalam antara Kerajaan Jordan dan Palestin.
“Keadaan semasa di wilayah Palestin dan mendorong proses damai yang terhenti di Asia Barat adalah isu utama yang dibincangkan dalam mesyuarat,” kata Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki pada sidang akhbar bersama Safadi selepas pertemuan itu.
Safadi memberitahu sidang akhbar itu bahawa lawatannya hadir ‘sebagai sebahagian daripada usaha untuk mewujudkan ufuk politik sebenar yang membawa kepada keamanan yang menyeluruh dan adil berdasarkan penyelesaian dua negara’.
“Asas itu ‘merangkumi penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya berasaskan sempadan 1967,” katanya.
“Status quo semasa tidak boleh diteruskan, dan tidak ada cara untuk keadaan kekal dalam kebuntuan seperti sekarang,” kata Safadi, sambil menambah bahawa ‘gerakan antarabangsa sebenar diperlukan untuk membawa ke arah pembabitan aktif dalam usaha mencari penyelesaian’.
Safadi berkata, mesyuarat itu turut membincangkan kepentingan memastikan sokongan ekonomi yang diperlukan untuk Pihak Berkuasa Palestin untuk terus berkhidmat kepada rakyat Palestin.
Rundingan damai secara langsung antara Israel dan Palestin, yang ditaja oleh Amerika Syarikat (AS) selama sembilan bulan, terhenti pada 2014, berikutan perbezaan mendalam mengenai isu berkaitan penempatan Yahudi dan pengiktirafan negara Palestin berasaskan sempadan 1967.
– AGENSI