Ahli Parlimen Pasir Gudang menyatakan kebimbangannya terhadap perjalanan pilihan raya negeri (PRN) apabila mungkin ramai pengundi yang berada di luar negeri itu tidak dapat pulang.
Kata Hassan Abdul Karim mereka – termasuk ramai yang berada di Pasir Gudang – berdepan kekangan kewangan untuk pulang apabila harga tiket begitu mahal menjelang PRN tersebut.
Untuk menangani isu itu, katanya, kementeterian pengangkutan wajar campur tangan dan memberikan penjelasan mengapa harga tiket kapal terbang naik dengan ketara menjelang PRN Sarawak.
“Saya ingin jawapan daripada Menteri Pengangkutan (Wee Ka Siong), mengapakah boleh berlaku pada hari ini harga tiket kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Miri, Sarawak lebih mahal berbanding harga tiket dari Kuala Lumpur ke Dubai?
“Adakah fenomena tidak adil ini sengaja dirangka supaya pengundi luar tidak boleh pulang Mengundi di Sarawak?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 24 Nov lalu mengumumkan, PRN Sarawak akan berlangsung pada 18 Dis ini dengan pengundian awal ditetapkan empat hari sebelum itu.
Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Dis.
Hassan berkata harga tiket kapal terbang dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak naik terlalu tinggi sehingga di luar kemampuan pengundi biasa yang ramai bekerja di Pasir Gudang.
Dibenar tambah penerbangan
Katanya Wee mesti menteri campur tangan dan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat penerbangan yang dilihat mengambil kesempatan memeras rakyat Sarawak yang ingin pulang melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan baru Sarawak bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Jika gejala buruk yang diamalkan oleh syarikat-syarikat penerbangan yang jelas menyalahi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana sengaja mengaut untung besar.
“Ia membawa makna, hanya orang kaya sahaja yang boleh pulang mengundi dalam PRN Sarawak pada bulan depan,” katanya.
Sementara itu Bernama melaporkan Malaysia Airlines mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk melakukan penerbangan tambahan antara 11 Dis hingga 5 Jan 2022.
Dalam kenyataan dikeluarkan Malaysia Airlines semalam syarikat terbabit memberitahu kekerapan penerbangan Kuala Lumpur – Kuching akan ditingkatkan daripada 21 kali seminggu menjadi 35 kali seminggu.
Bagi laluan Kuala Lumpur – Miri dan Kuala Lumpur – Sibu pula kekerapannya ditambah daripada tujuh kepada 14 kali seminggu.
“Malaysia Airlines akan sentiasa menyelaraskan kapasiti atau kekerapan sebagaimana dinasihatkan oleh JPBN Sarawak.
“Pelanggan juga digalakkan menempah penerbangan lebih awal bagi mendapatkan kadar tambang lebih rendah,” kata kenyataan itu.
– Malaysiakini