Pengasas bersama Taliban dan kini Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund, semalam berikrar kerajaannya tidak akan campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.
Pada masa sama, beliau meminta badan kebajikan antarabangsa untuk terus menawarkan bantuan kepada negara yang dilanda perang itu.
Beliau menyatakan perkara itu dalam ucapan audio yang disiarkan di televisyen tempatan.
Ia adalah ucapan pertamanya kepada negara selepas Taliban merampas kuasa pada Ogos lalu dan menjelang pertemuan antara Amerika Syarikat (AS) dan Taliban di Doha, minggu depan.
“Kami memberi jaminan kepada semua negara, kami tidak akan mencampuri hal ehwal dalaman mereka dan kami mahu mempunyai hubungan ekonomi yang baik dengan mereka.
“Kami tenggelam dalam masalah kami dan cuba mendapatkan kekuatan untuk membawa rakyat kami keluar daripada kesengsaraan dan kesusahan dengan pertolongan Tuhan,” kata Hassan dalam ucapan selama 30 minit itu.
Taliban merampas kuasa pada 15 Ogos lalu selepas menyingkirkan kerajaan sebelum ini yang disokong AS, selepas Washington membawa keluar tenteranya dari Afghanistan selepas perang selama 20 tahun.
Rejim Taliban sebelum ini digulingkan dalam pencerobohan yang diketuai AS selepas serangan 11 September di AS oleh Al-Qaeda, yang mana pengasasnya, Osama bin Laden ketika itu tinggal di Afghanistan.
– AFP