Thailand turut mengikuti langkah negara lain yang melarang kemasukan pengembara dari beberapa negara di Afrika berikutan penularan jangkitan melibatkan varian baru Covid-19 dikenali Omicron.
Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata bermula 1 Dis, perjalanan dari lapan negara – Botswana, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe – adalah dilarang.
Beliau berkata mulai hari ini, pengembara dari negara yang terletak di selatan benua Afrika itu tidak akan dibenarkan mendaftar untuk program pelancongan “Thailand Pass” dan mereka yang sebelum ini telah mendapat kelulusan, wajib menjalani kuarantin selama 14 hari.
Selain itu, pengembara lengkap dengan suntikan vaksin Covid-19 dari negara Afrika yang lain tidak akan dibenarkan mengikuti aturan perjalanan tanpa kuarantin dan mereka wajib menjalani kuarantin sebaik tiba di Thailand.
Setakat ini, beliau berkata tiada kes melibatkan varian baru itu dilaporkan di Thailand.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengarahkan agensi berkaitan untuk meningkatkan tahap berjaga-jaga terhadap varian baru itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat mengisytiharkan strain B.1.1.529 Covid-19 yang baru ditemui, pertama kali dikesan di selatan Afrika, sebagai varian yang membimbangkan dikenali Omicron.
Dr Opas berkata Thailand telah menjalankan ujian saringan terhadap 1,007 ketibaan dari 12 negara Afrika, di bawah program “sandbox” dan semuanya didapati bebas daripada Covid-19.
– Bernama