Rosmah Mansor menerusi pasukan peguamnya memohon maaf kepada Mahkamah Rayuan hari ini kerana tidak hadir untuk pendengaran rayuan berkenaan kes rasuah terhadapnya, minggu lalu.
Peguamnya Jagjit Singh menyampaikan permohonan maaf itu kepada panel tiga hakim yang dipengerusikan Hanipah Farikullah.
Pada 2 Disember lalu, Rosmah tidak hadir ke pendengaran rayuan untuk membatalkan kes rasuah melibatkan projek tenaga solar hibrid untuk sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak bernilai RM1.25 billion.
Ketika itu isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu masih berada di Singapura untuk bersama-sama anaknya, Nooryana Najwa yang baru melahirkan anak.
Pihak pendakwaan ketika itu meminta mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
Bagaimanapun mahkamah menolak permohonan itu setelah peguam menjelaskan ia berpunca daripada “kelalaian”. Panel hakim juga mengeluarkan arahan agar Rosmah hadir ke prosiding hari ini.
Jagjit hari ini menyampaikan permohonan maaf manakala Rosmah pula di kandang tertuduh.
“(Kami) memohon maaf secara mendalam kepada Yang Arif atas ketidakhadiran perayu minggu lalu.
“Dia menyampaikan permohonan maaf sejujurnya,” kata Jagjit.
Selain Hanipah, turut menjadi panel hakim adalah M Gunalan dan Hashim Hamzah.
Prosiding kemudian diteruskan dengan panel hakim sebulat suara membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan untuk mengetepikan permohonan Rosmah.
Rosmah membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 September lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan kesnya daripada didengar di mahkamah itu.
Permohonan itu dibuat atas dasar surat pelantikan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa yang didakwa tidak sah. Sri Ram merupakan ketua pasukan pendakwaan dalam kes ini.
Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Rosmah untuk membela diri setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Perbicaraan Rosmah di depan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan bersambung pada Rabu ini.
Dia dihadapkan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.
– Malaysiakini