Pada awalnya saya tidak berhasrat mengambil bahagian dalam perdebatan ini. Saya menganggap ia sekadar sebagai polemik politik budaya. Ia sihat dalam aspek amalan kebebasan bersuara.
Namun polemik politik budaya di antara Dr Boo Cheng Hau dan Hannah Yeoh itu seharusnya tidak keterlaluan sehingga ke tahap menjengkelkan ramai orang.
Jika diambil logik demografi pilihan raya, saya fikir Yeoh tidak wajar dianggap terdesak sehingga mengenakan tudung bagi tujuan meraih undi Melayu seperti dakwaan Boo.
Ini bersandarkan kepada fakta-fakta angka di kawasan parlimen yang diwakilinya. Segambut terdiri daripada majoriti pengundi bukan Melayu. Pengundi Melayu hanya sekitar 28 peratus berbanding Cina 59 peratus.
Baik, letaklah angka-angka itu ke tepi dahulu.
Jika benar sekalipun Yeoh mahu meraih sokongan pengundi Melayu Islam di kawasan Segambut, bagi saya ia patut disanjung kerana itu bermakna dia tidak ketinggalan untuk menyantuni kelompok minoriti di kawasannya.
Dalam neraca demokrasi, Yeoh ternyata tidak semata-mata melayan kumpulan majoriti. Jika diikutkan, cukup bagi Yeoh menjaga pengundi Cina di kawasan itu saja kerana itulah yang akan membawa kemenangannya. Tetapi Yeoh tidak begitu.
Ada kod etika tertentu
Dalam aspek pemakaian, ia perlu dilihat dari dua perspektif. Perspektif hukum, dan perspektif budaya masyarakat Malaysia.
Dari aspek hukum, ilmuan Islam memiliki beberapa pandangan. Mengambil kesimpulan daripada pandangan-pandangan tersebut dengan realiti Malaysia yang bersifat majmuk, Islam tidak melarang non-Muslim memasuki masjid seperti yang didukung mazhab Syafii, Hambali dan Hanafi.
Namun beberapa keadaan perlu dipatuhi, seperti mendapat keizinan pihak pengurusan masjid, berpakaian sopan – termasuklah mematuhi etika pemakaian – seperti mengenakan selendang kepala, menjaga kebersihan serta tidak melakukan aktiviti yang bercanggahan dengan kesucian masjid sebagai tempat ibadah umat Islam.
Adapun di Malaysia, peraturan-peraturan bawah majlis agama Islam negeri juga perlu menjadi panduan.
Dari perspektif budaya, ada norma-norma bersifat universal dalam soal pemakaian. Kita semua sedar bahawa mana-mana kawasan atau premis yang kita lawati pastilah terdapat kod etika pemakaian tertentu.
Dalam hal ini, kita tidak wajar berfikiran sempit seolah-olah mengenakan tudung itu dengan mudahnya akan menjadikan seseorang itu ‘Islam’. Maaf cakap, rahib-rahib Kristian dan Yahudi juga berhijab. Cuma barangkali jenis atau nama hijabnya saja berbeza dengan Malaysia.
Maka kita tidak perlu mudah melatah dan membuat komen keterlaluan dalam menanggapi sesiapa juga yang cuba mematuhi kod etika pemakaian ketika berada dalam sesuatu kawasan tertentu.
Ini sama juga keadaannya tatkala kita memasuki parlimen dan dewan undangan negeri (DUN).
Adakah Adun Sekinchan, Ng Swee Lim, di DUN Selangor – misalnya – sudah masuk Islam hanya kerana mengenakan songkok? Adakah dia akan hilang identitinya? Apakah akan hilang undi Cinanya? Atau mungkinkah Ng sangat terdesak mahu meraih undi simpati daripada Melayu?
Aduhai, janganlah kita keterlaluan berpolitik.
Apa juga telahannya, saya berpendapat tindakan Yeoh mengenakan tudung sewaktu mengadakan lawatan di masjid adalah tepat untuk tujuan menyantuni kariah masjid tersebut dengan pembawaan yang disenangi lagi harmonis.
Hormati budaya, pandangan lain
Berlebih-lebihan membuat pelbagai andaian sekadar menzahirkan lagi siege mentality (mentaliti tertawan).
Menyantuni bermaksud menghargai. Sudah menjadi tugas seorang ahli parlimen untuk menyantuni semua golongan yang berada bawah perhatian kawasan diwakilinya.
Kita seharusnya bersangka baik bukan saja kepada Yeoh malah mana-mana ahli politik pun. Termasuk Boo sendiri.
Saranan saya, kita perlulah sentiasa mengamalkan politik yang berjiwa besar dan pada masa yang sama, bersederhana. Dalam sebuah negara yang majmuk ini, kita bukan sahaja perlu menghormati budaya, agama dan pandangan orang lain.
Kita juga harus menginsafi bahawa zaman berubah, dan kita harus mengikuti perkembangan ini. Atau kita sendiri yang akan ditinggalkan zaman.
Menyantuni rakyat harus melangkaui perbezaan budaya dan agama. Inilah juga yang dianjurkan Islam. Bahkan dalam panduan yang disarankan Nabi Muhammad SAW, baginda berdiri sebagai tanda hormat kepada jenazah seorang Yahudi yang dibawa lalu di hadapannya.
Apabila ditanya, Muhammad berkata: “Tidakkah jenazah itu merupakan satu jiwa/manusia?”
SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah Naib Pengerusi DAP Johor merangkap ketua Pemuda DAP negeri berkenaan.
– Malaysiakini