Menjelang keputusan rayuan Najib Razak untuk membatalkan sabitan dalam kes rasuah RM42 juta SRC International Sdn Bhd, bekas perdana menteri itu dikatakan mempunyai kontak dengan individu positif Covid-19.
Menurut surat daripada peguam Najib kepada Mahkamah Rayuan, ia juga mendakwa sebahagian besar pasukan peguamnya juga mempunyai kontak biasa, kontak rapat dan malah satu kes yang didakwa positif Covid-19.
Dalam surat daripada Tetuan Shafee & Co bertarikh semalam, peguam memohon Mahkamah Rayuan melapangkan tarikh keputusan yang dijadualkan sebelum ini berkaitan keputusan rayuan Najib pada Rabu ini.
Para peguam juga meminta perbicaraan yang dijadualkan hari ini mengenai permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru dalam kes rayuan SRC turut dilapangkan.
Menurut surat itu, pada 4 Dis lalu, peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, anaknya Muhammad Farhan dan isterinya, menghadiri satu majlis di mana kemudiannya diketahui ada seorang individu disahkan positif Covid-19.
Peguam mendakwa individu yang diuji positif itu adalah ibu kepada anggota pasukan peguam yang mewakili Najib. Seorang lagi anggota pasukan peguamnya yang berasingan juga kemudiannya dikesan positif.
Mereka mendakwa Najib juga hadir ke firma guaman berkenaan untuk mengesahkan afidavit tertentu berkaitan permohonannya untuk mengemukakan bukti baru dalam kes rayuan SRC.
Esok, Mahkamah Rayuan dijadual menyampaikan keputusan berhubung rayuan Najib untuk membatalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah SRC melibatkan penyelewengan RM42 juta.
– Malaysiakini