Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berpendapat pendahulunya Najib Razak masih boleh membuat kemunculan semula ke tampuk pemerintahan negara.
Ini susulan keputusan mahkamah yang membenarkan permohonan Najib menangguhkan hukuman penjara, denda dan sabitan terhadap kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd.
“Jika ia menang dan sekali lagi jadi ahli Dewan Rakyat, apakah ia boleh jadi perdana menteri juga.
“Undang-undang tidak berkata ia tidak boleh. Jika undang-undang tidak berkata tidak boleh, maka mengikut undang-undang tentulah ia boleh,” katanya.
“Alhamdulillah. Malaysia mungkin buat rekod sekali lagi kerana banduan dianugerah jawatan perdana menteri,” katanya dalam tulisan terbaru di blog, hari ini.
Kenyataan Mahathir itu sebagai respon sejurus selepas tiga hakim Mahkamah Rayuan sepakat mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
Panel hakim terbabit – dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil – juga sebulat suara mengekalkan hukuman yang ditetapkan ke atas Najib.
Pandangan Mahathir itu bagaimanapun tidak selari dengan pihak lain. Peguam New Sin Yew misalnya berpendapat harapan Najib untuk mempertahankan kerusi parlimen Pekan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang sukar.
Katanya, Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan individu yang dijatuhi hukuman penjara setahun atau lebih, atau denda RM2,000 atau lebih, hilang kelayakan sebagai ahli parlimen.
Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Sementara itu Mahathir yang juga anggota Parlimen Langkawi berkata, Oleh kerana ia tidak bercanggah dengan undang-undang, Najib tidak akan menjalani hukuman kerana membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
“Ini hak hakim. Belum pernah ada kes sebesar jenayah yang dilakukan oleh Najib. Ia adalah satu rekod dunia, mengikut Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat.
“Orang yang didapati bersalah kecil pun tidak pernah mendapat stay of execution seperti ini. Najib mungkin terpaksa tunggu sampai setahun atau lebih sebelum kesnya sampai ke Mahkamah Persekutuan,” ujarnya.
– Malaysiakini