Bekas Naib Presiden Afghanistan, Amrullah Salleh mendakwa semua bank swasta di negara itu telah muflis dan eksekutif tertinggi bank telah melarikan diri ke luar negara.
Menerusi ciapan di Twitter beliau berkata, kesemua bank kini berdepan bankrap dan kemungkinan hanya Bank Antarabangsa Afghanistan (AIB) yang akan digunakan untuk memindahkan dana kemanusiaan disalurkan masyarakat antarabangsa.
Beliau mendakwa, kepimpinan Taliban telah mengawal bank di seluruh negara secara senyap selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank-bank melarikan.
Amrullah percaya Pakistan harus campur tangan menyelamatkan ‘proksinya’ daripada krisis kewangan berlanjutan di negara itu.
“Tindakan Pakistan sekadar menghantar tujuh lori gandum seminggu tidak menyelesaikan masalah ini,” dakwanya.
Pada 15 Ogos lalu,Taliban mengambil alih pentadbiran Kabul tanpa menghadapi sebarang tentangan manakala Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani berundur dan melarikan diri dari negara itu.
6 September, Taliban kemudian mengisytiharkan mereka telah menubuhkan kawalan ke atas seluruh wilayah Afghanistan, manakala keesokan harinya mereka mengumumkan penubuhan kerajaan sementara yang tidak diiktiraf oleh mana-mana negara setakat ini.
Taliban mula mengambil alih pentadbiran negara itu Ogos lalu selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pengunduran diri dari negara yang berdepan dengan krisis kemanusiaan.
Tindakan itu menyebabkan ramai kehilangan tempat tinggal dan pekerjaan berikutan pergolakan politik.
– Agensi