Pelajar boleh menjadi kritis untuk melontarkan pandangan kepada kerajaan tetapi tidak bertindak secara beremosi, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana menteri berkata sebaliknya, golongan tersebut perlu menyuarakan pandangan berlandaskan fakta dan bukti ketika memberi pandangan mereka khasnya berkaitan dasar kerajaan.
“Apabila pemimpin pelajar bertemu dengan saya, salah satu soalan yang ditanya bolehkah kami bersifat kritis dan kritikal terhadap kerajaan, saya jawab boleh dan tidak salah.
“Cuma yang penting, setiap perkara yang dikatakan mestilah mempunyai fakta dan tidak secara emosi. Kita benarkan golongan ini untuk menentukan dan memilih siapa yang bakal menjadi pemimpin negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan inisiatif Keluarga Malaysia@IPT di Dewan Tuanku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim hari ini.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Ismail Sabri berkata kerajaan mengiktiraf peranan anak muda dan ini dibuktikan apabila meluluskan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun sebelum ini yang bakal dikuatkuasakan pada 1 Jan depan walaupun dipertikaikan sesetengah pihak.
“Ramai yang tidak yakin dan skeptikal terhadap keputusan kerajaan dalam hal itu kerana dianggap mereka masih terlalu mentah untuk menentukan pemimpin negara.
“Tetapi kerajaan yakin dengan kemampuan anak muda dan mahu mereka menentukan siapa yang berhak jadi pemimpin,” katanya.
Perdana menteri berkata sehubungan itu bermula 1 Jan ini, semua anak muda yang berumur 18 tahun ke atas, secara automatik akan jadi pengundi dalam membentuk kerajaan dan masa depan negara.
Berkuat kuasa 1 Jan 2022, pendaftaran untuk pengundi berusia 18 tahun akan dilakukan secara automatik dan kini persiapan dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) antaranya meliputi pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP).
Pada majlis itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Keluarga Malaysia yang berpangkalan di UPSI bagi menerajui penyelidikan dan mempromosikan konsep Keluarga Malaysia.
Beliau berkata penubuhan itu bersesuaian dengan jolokan UPSI sebagai institusi ulung yang membawa perubahan dalam pengembangan pendidikan.
“Menjadi harapan saya agar pusat ini nanti berupaya menginstitusikan ‘Keluarga Malaysia’ dengan menjadi hab penyelidikan, pendidikan, latihan dan penyebaran ilmu, dalam kalangan warga Malaysia.
“Saya sangat optimis, dengan kreativiti, inovasi serta kolaborasi strategik yang melibatkan pelbagai pihak, pusat ini dapat memainkan peranan yang signifikan dalam meningkat, mempromosi dan menyebarluaskan lagi konsep serta usaha membudayakan nilai-nilai pengkayaan Keluarga Malaysia,” katanya.
– Bernama