Ratusan pelarian Rohingya menyaman Facebook AS$150 bilion (RM634 bilion) kerana mendakwa syarikat itu membuka ruang kebencian terhadap mereka di platform berkenaan.
Saman yang dikemukakan di mahkamah California itu menyatakan, algoritma digunakan Facebook mempromosikan maklumat palsu dan idea pelampau sehingga direalisasikan menjadi keganasan di dunia sebenar.
“Facebook seperti robot yang diprogramkan dengan misi tunggal iaitu untuk berkembang.
“Realitinya perkembangan Facebook yang didorong dengan ucapan kebencian, perpecahan dan maklumat palsu menyebabkan ratusan ribu hidup penduduk Rohingya musnah,” jelas dokumen mahkamah.
Penduduk etnik beragama Islam Rohingya itu berdepan dengan diskriminasi meluas di Myanmar yang mana mereka dipandang sebagai penceroboh walaupun berada dan menetap di negara itu sejak turun-temurun.
Sedangkan lebih 10,000 etnik Rohingya dibunuh secara kejam oleh tentera negara Myanmar.
Mereka tinggal di kem pelarian luas di negara jiran untuk meneruskan kehidupan.
Ramai lagi yang masih tinggal di Myanmar yang mana mereka tidak diberikan status kewarganegaraan, tertakluk kepada keganasan dan ditindas oleh junta tentera yang memerintah.
– Agensi