Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman tampil menunaikam nazar dengan membotakkan kepala untuk membayar nazar susulan mahkamah rayuan mengekalkan hukuman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, hari ini.
Muhammad Faiz mengesahkan penampilan terbarunya dengan berkepala botak itu dibuat untuk menunaikan nazar.
“Ya. Demi Integriti, rakyat dan negara,” katanya ringkas melalui pesanan aplikasiWwhatApps.
Terdahulu, panel tiga hakim dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan terdahulu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Najib memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang mendapati dia bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.
‘Tamatkan khidmat pengiring’
Sementara itu seorang anggota parlimen DAP menggesa agar khidmat polis pengiring kepada Najib ditamatkan segera.
Perkara itu disuarakan anggota parlimen Bukit Mertajam Steven Sim susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.
“Najib telah memalukan Malaysia, memalukan nama besar Almarhum Tun Abdul Razak, memalukan agama dan bangsa.
“Satu saja, perkhidmatan polis pengiring kepada Najib harus ditamatkan dengan serta merta.
“Jangan terus menerus aibkan polis kita dengan memaksa mereka mengiring penjenayah seolah-olah dia VVIP. Jaga maruah polis,” tegasnya dalam tulisan di Facebook hari ini.
Masih ada peluang, kata Asyraf Wajdi
Dalam perkembangan sama, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan Mahkamah Rayuan terhadap anggota Parlimen Pekan itu perlu dihormati.
“Mahkamah Rayuan kekal sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi terhadap Datuk Seri Najib Razak. Hormati keputusan Mahkamah.
“Masih ada peluang rayuan di Mahkamah Persekutuan,” katanya.
– Malaysiakini