Kerja-kerja penyelidikan di tapak arkeologi tamadun awal Sungai Batu, Kedah telah disambung semula setelah dua tahun tertangguh.
Penyelidik Pusat Penyelidikan Arkeologi Global PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Nasha Rodziadi Khaw berkata pada tahun 2020 dan 2021, kerja lapangan terpaksa ditangguhkan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Setakat sekarang, para pelajar bersama staf-staf teknikal dan akademik PPAG USM sedang melakukan analisis saintifik terhadap sampel-sampel arkeologi yang ditemui ketika ekskavasi sebelum ini,” katanya.
Nasha, 37, memberitahu perkara itu sebagai menjawab soalan Malaysiakini yang mahukan pengesahan berkaitan perkara itu.
Pada 30 November lalu, satu Facebook sejarah yang memfokuskan kepada Sungai Batu mendakwa status penyelidikan sama ada diteruskan atau tidak masih belum diketahui.
“Antara alasan yang menyokong penyelidikan dihentikan adalah setelah beberapa tahun, tapak-tapak yang dibuka masih dijumpai dalam lingkungan fungsi yang sama iaitu tapak jeti, tapak syahbandar dan tapak peleburan besi.
“Alahai. Takkan kita gamak hentikan penyelidikan? Bangsa Melayu rupanya berhati kecil no,” status yang mempunyai lebih 120,000 orang itu dipetik.
Sementara itu, Nasha berkata penyelidikan sekarang melibatkan kerja-kerja makmal, tafsiran data dan penulisan.
Ia melibatkan analisis saintifik terhadap sampel-sampel arkeologi yang ditemui ketika eksavasi sebelum ini, katanya lagi.
“Aspek ciri seni bina tinggalan struktur bata, kronologi tapak-tapak peleburan besi, dan kajian paleografi prasasti-prasasti Sungai Batu juga sedang ditafsir.
“Masih wujud sejumlah tapak-tapak yang berpotensi untuk diekskavasi di Kompleks Arkeologi Sungai Batu,” katanya.
Berkaitan ekskavasi baru pula, kata Nasha, masih berada di peringkat penyusunan dan pengelolaan program penyelidikan.
“Perkara-perkara yang lain juga sedang diambil tindakan termasuklah kerja-kerja merangka pendekatan, strategi dan metodologi kajian yang terbaik dan sesuai dengan tafsiran terkini, pemilihan tapak-tapak yang sesuai untuk diekskavasi permohonan lesen dan dana penyelidikan, serta kolaborasi strategik dengan pihak-pihak yang berkenaan,” katanya.
Dia menekankan kepentingan kerjasama pelbagai pihak – badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan – serta kepakaran dalam dan luar negara bagi menghasilkan data dan tafsiran yang utuh dan berintegriti.
Sementara itu, dia juga berkata Jabatan Warisan Negara juga sedang merangka pembangunan bagi meningkatkan infrastruktur pelancongan di Sungai Batu dan kawasan sekitar Lembah Bujang.
Usaha itu dibuat setelah Belanjawan 2022 memperuntukkan dana RM 50 juta bagi pembangunan tapak Lembah Bujang dan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 21 Oktober 2021 mengumumkan peruntukan itu untuk memulihkan industri pelancongan negara yang terjejas teruk akibat Covid-19.
Kajian di Sungai Batu, Merbok, Kedah penting kerana dianggap sebagai tamadun tertua di Asia Tenggara.
Sungai Batu, sebahagian daripada kerajaan Kedah Tua, berfungsi sebagai pusat peleburan besi, pelabuhan kapal dagang dan pentadbiran pelabuhan kuno.
Menurut pakar industri itu telah bermula sejak kurun keenam sebelum masihi.
– Malaysiakini