Dalam bahagian kedua jawapan balasnya terhadap dakwaan Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Damansara Tony Pua mengimbas kembali surat terbuka yang ditulisnya pada Oktober 2018 yang mencetuskan kemarahan bekas perdana menteri itu.
Surat itu ditujukan kepada pengarah MMC-Gamuda berkenaan projek MRT2. Pada masa itu, Pua adalah setiausaha politik bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng.
“…Bila Mahathir baca surat terbuka saya, dia terus marah.
“Satu-satunya sebab mengapa saya tidak dipecat sebagai setiausaha politik menteri kewangan – lantikan di bawah skop perdana menteri – adalah kerana Lim beritahu dia yang saya tulis surat ata arahannya (yang memang satu kebenaran,” katanya.
Menurut Pua, dia tidak menyesal menulis surat terbuka itu walaupun ia terus menjadi duri dalam daging bagi Mahathir.
“Ia jelas menunjukkan diri Mahathir, apabila dia memutuskan untuk tidak menyebut penjimatan RM8.82 bilion untuk rakyat dalam projek MRT2 ketika pentadbirannya di dalam memoirnya, tetapi sebaliknya merungut berkenaan seorang setiausaha politik yang (baginya) menjengkelkan,” katanya lagi.
Semalam, Pua dalam bahagian pertama kenyataanya, menjawab artikel yang melaporkan Mahathir dalam buku terbaru bertajuk Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia, mendakwa dia menghentikan seorang penasihat Lim kerana melangkaui bidang kuasanya.
Walaupun Mahathir tidak menyebut sebarnag nama secara khusus, Pua percaya ia ditujukan kepadanya dan berkata cara paling mudah untuk mencetuskan kemarahan Mahathir adalah “menyasarkan titik lemahnya (soft spot) berkenaan beberapa ‘bos perniagaan besar’ yang dilayan secara tidak adil”.
Ketika pelancaran dalam talian buku tersebut semalam, Mahathir tidak berselindung dengan melancarkan kritikan dan kali ini menamakan sasarannya.
Dia menyifatkan ahli parlimen DAP itu sebagai “angkuh” dan mendakwa ramai yang tidak menyukainya.
“Bila anda bukan pun menteri dan hanya setiausaha politik – tetapi beritahu orang apa yang perlu dibuat dan mengugut mereka serta bercakap dengan cara anda – anda adalah angkuh dan orang tak akan suka anda.
“Kerana seorang ini, ramai orang tidak suka kerajaan (PH) kerana mereka rasa kerajaan tidak bertimbang rasa terhadap permasalahan mereka,” katanya lagi.
– Malaysiakini