Pasukan penyelidik China telah menguji pesawat hipersonik berkembar berdasarkan reka bentuk yang pernah ditolak Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) kerana didakwa terlalu mahal, kira-kira dua dekad lalu.
Penyelidikan berkenaan menandakan langkah ke hadapan Beijing dalam usaha membangunkan teknologi pesawat, ketika China menyasarkan untuk mencipta pesawat hipersonik yang mampu membawa 10 orang serentak ke mana-mana destinasi di dunia dalam masa sejam menjelang 2035.
Pesawat hipersonik itu berkelajuan lima kali ganda atau kira-kira 3,800 batu sejam dan lebih sukar dikesan sekiranya digunakan untuk menghantar senjata seperti peluru berpandu nuklear.
Pasukan penyelidik dari Universiti Aeronautik dan Astronautik Nanjing berjaya menguji protaip dengan dua enjin berkembar berdasarkan reka bentuk pesawat TSV oleh Ming Hang Tang, ketua jurutera kelahiran China, yang terlibat dalam program hipersonik di peringkat awal sekitar tahun 1990-an.
Lebih dikenali Boeing Manta X-47C, kehebatan pesawat berkenaan pernah diterokai oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) namun terpaksa ditangguhkan pada tahun 2000-an berikutan kos terlalu tinggi dan masalah teknikal.
Terkini, Universiti Nanjing telah menguji versi reka bentuk dalam terowong angin yang mensimulasikan keadaan penerbangan selama beberapa saat, dan mendapati enjin boleh dihidupkan walaupun dalam keadaan mencabar.
Pasukan penyelidik yang terlibat termasuk Prof Tan Huijun, yang telah menerima anugerah tertinggi kerajaan China atas sumbangannya kepada program senjata hipersonik negara itu.
– Agensi