Indonesia akan memberikan vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak berusia antara enam tahun hingga 11 tahun mulai esok, menurut Kementerian Kesihatan.
Jurucakap kementerian, Maxi Rein Rondonuwu berkata, negara ini telah meluluskan pemberian vaksin Sinovac Biotech untuk kira-kira 26.5 juta kanak-kanak yang disasarkan pada bulan lalu.
Indonesia menjadi antara negara Asia Tenggara pertama yang mula memberikan imunisasi COVID-19 kepada kumpulan kanak-kanak.
Maxi berkata, vaksin Sinovac adalah satu-satunya suntikan yang diluluskan untuk kanak-kanak Indonesia, dan pihak berkuasa akan mengehadkan penggunaannya hanya untuk kumpulan umur itu mulai tahun depan.
“Langkah itu untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada semua orang Indonesia… kami sedang memperkukuh imuniti bagi kumpulan kanak-kanak,” katanya.
Data kerajaan menunjukkan, negara itu merekod lebih 4.2 juta kes jangkitan COVID-19 di kalangan mereka yang berusia 0 hingga 18 tahun, iaitu 13 peratus daripada jumlah jangkitan.
Di Asia, China telah mula memberi vaksin kepada kanak-kanak berusia seawal tiga tahun ke atas, manakala Kemboja menerima vaksin pertamanya untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun pada September.
Minggu lalu, Singapura memaklumkan akan memberi vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sebelum akhir tahun ini.
– Agensi