Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan isteri, Puan Sri Zainuriah Mustapha adalah antara yang terawal melaksanakan tanggungjawab mengundi di hari pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 di Dewan Serbaguna Kem Muara Tuang di Kuching, hari ini.
Beliau selesai mengundi pada pukul 9.29 pagi tadi.
Antara yang turut mengundi awal hari ini adalah Panglima Medan Timur Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan isteri, Datin Sdafra’ Ahmad, serta Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa dan isteri Datin Norziati Othman.
Sejumlah 2,321 pengundi awal dalam kalangan anggota tentera dan pasangan dijangka melaksanakan undi awal di lima saluran yang disediakan di Pusat Pengundian Awal Kem Muara Tuang, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang ini.
Keseluruhannya 12,585 anggota tentera dan pasangan akan melaksanakan pengundian awal pada PRN12 ini di 16 pusat mengundi di seluruh Sarawak melibatkan 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sementara itu calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi DUN Stakan, Datuk Hamzah Brahim tiba 9.14 pagi untuk meninjau proses pengundian awal bagi anggota tentera dan pasangan di Pusat Mengundi Awal Dewan Serbaguna, Kem Muara Tuang itu.
– Bernama