Bekas Presiden negara pembuli Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Benjamin Netanyahu tidak pernah serius untuk menandatangani perjanjian damai dengan Palestin.
Trump mengkritik bekas Perdana Menteri negara haram Israel itu dalam satu temubual yang diterbitkan semalam, selepas menuduh Netanyahu tidak setia kerana berani mengucapkan tahniah kepada Presiden Joe Biden atas kemenangannya dalam pilihan raya November tahun lalu.
“Saya tidak fikir Bibi pernah mahu berdamai. Saya rasa dia hanya menipu kita,” kata Trump yang merujuk nama samaran Netanyahu.
Trump – yang menjadi ‘raja’ kepada perjanjian itu – mendakwa dia boleh membaca pemikiran Netanyahu yang didakwa tidak tenang seperti sebuah buku.
“Seluruh hidup saya adalah perjanjian. Saya seperti satu perjanjian besar. Itu sahaja yang saya lakukan, jadi saya memahaminya.
“Dan selepas bertemu dengan Bibi selama tiga minit… saya menghentikan Bibi di tengah-tengah ayat. Saya berkata:
“‘Bibi, awak tidak mahu membuat perjanjian. Betulkah? Dan dia berkata ‘Nah, eh’, dan hakikatnya saya rasa Bibi tidak mahu dengan perjanjian itu,” kata Trump.
Malah Trump turut mendakwa bahawa Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas bukan penghalang menuju keamanan dan memuji sikap pemimpin itu.
“Saya fikir dia hebat. Dia seperti seorang bapa. Saya fikir dia mahu membuat perjanjian lebih daripada Netanyahu,” kata Trump.
Namun, dia kemudiannya mengkritik semula Abbas, dengan mendakwa presiden itu bercakap dengan cara suka berperang apabila di khalayak umum, tetapi bernada mesra ketika pertemuan secara bersemuka.
Trump bukanlah bekas presiden AS pertama yang mendedahkan Netanyahu sebagai penghalang kepada pendamaian, malah Bill Clinton pada 2014 juga pernah mendakwa Bibi tidak mungkin memeterai perjanjian damai itu.
– Agensi