Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran varian coronavirus baharu, Omicron sedang merebak pada kadar yang belum pernah berlaku sebelum ini dan mungkin sudah ada di kebanyakan negara di seluruh dunia.
Sejak varian baharu yang sangat bermutasi itu mula dikesan di selatan Afrika bulan lalu, ia kini sudah dilaporkan di 77 negara, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada pemberita.
“Realitinya ialah Omicron mungkin berada di kebanyakan negara, walaupun ia belum dikesan lagi.
“Omicron merebak pada kadar yang belum kita lihat dengan mana-mana varian sebelumnya,” katanya.
Ketua WHO itu juga menyuarakan kebimbangan terhadap banyak negara yang tergesa-gesa untuk menyediakan dos vaksin penggalak sebagai tindak balas kepada penularan Omicron, memandangkan ketidaksamaan yang ketara dalam akses vaksin antara negara kaya dan miskin.
‘WHO bimbang program sebegini akan mengulangi penimbunan vaksin COVID-19’ yang dilihat sebelum ini, katanya.
Beliau berkata, masih belum ada data mencukupi untuk menunjukkan dos ketiga diperlukan untuk melindungi orang dewasa yang sihat secara berkesan daripada varian itu.
Namun, beliau berkata: “Sambil kita bergerak ke hadapan, dos penggalak boleh memainkan peranan penting.”
Pada masa sama, beliau menyatakan kebimbangan ekoran masih ramai lagi individu di negara miskin belum menerima walaupun satu dos vaksin.
“Biar saya jelaskan WHO tidak menentang dos penggalak. Kami menentang ketidakadilan. Kebimbangan utama kami adalah untuk menyelamatkan nyawa di mana-mana. Ini soal keutamaan.
“Arahan itu penting. Memberi penggalak kepada kumpulan berisiko rendah hanya akan membahayakan nyawa mereka yang berisiko tinggi yang masih menunggu dos utama mereka kerana kekangan bekalan,” katanya.
– Agensi